PUTRAJAYA – Isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran memerlukan penguatkuasaan dan pemantauan lebih tegas yang menuntut perubahan dan tinjauan yang kerap, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang berlangsung baru-baru ini telah memberi tumpuan kepada isu makanan asasi itu.
Menurut beliau, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan sesetengah pengilang telah bersetuju untuk menurunkan harga beras putih import antara RM2 hingga RM3.
“Ada yang komen kepada saya harga beras turun, harga beras terkawal harga ayam turun berbanding dua tahun lalu tapi harga makanan naik
“Jadi ini mungkin penguatkuasan dan pemantauan ini harus menuntut kita melakukan tinjauan dan perubahan. Dua hari lalu saya mempengerusikan mesyuarat NACCOL tapi kita tumpukan soal beras.
“Aneh tak bila kita nampak perdana menteri dah mula naik angin sikit, Bernas kata boleh turun RM2 dan pengilang kata boleh turun RM1 tapi tahun sudah tidak pula dan dua tahun sudah juga tidak.
“Jadi turun RM3 beras import. Ada setengah tempat RM2 kerana pengilang tak sanggup tapi umumnya RM2 ke RM3. Tapi itu sudah banyak untuk pembeli dan pengguna biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Mengulas mengenai beras putih tempatan, Anwar berkata, laporan yang diberikan kepada beliau tidak selari dengan tawaran makanan asasi itu yang sebenarnya tiada di pasaran.
Jelas beliau, ini kerana tinjauannya ke lapangan mendapat aduan apabila BPT memang wujud tetapi tidak dijual di kedai.
“Tapi beras tempatan dalam RM26 tapi tiada dalam pasaran walaupun dalam laporan kata ada. Saya hari itu ada program jualan, saya tanya kenapa jual beras RM30 beras campur, ada RM26, dia kata memang ada tetapi tiada di kedai, maknanya tidak ada ada (BPT).
“Tapi bila kita tegaskan dalam mesyuarat kerana berapa pengeluaran kita tahu dan keputusan kerajaan semua keperluan polis, tentera dan sekolah asrama dalam kontrak kerajaan beli beras import supaya beras tempatan masih dalam edaran.
“Jadi bila kita tekankan itu ada maklumat sekitar 150,00 metrik beras tempatan dalam edaran. Tak cukup untuk semua tetapi kita tumpukan kepada miskin bandar dan di kawasan kampung dan pendalaman melalui FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladanga) maka sekurang-kurangnya sebahagian besar majoriti rakyat pendapatan rendah guna beras tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette