KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dijangka menjana RM2.6 bilion dalam jualan eksport tahun ini melalui tujuh program perdagangan antara Malaysia dan China bagi memperingati tahun ke-50 bermulanya hubungan diplomatik dengan kuasa ekonomi itu.
MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata, acara perdagangan itu akan memberi manfaat kepada lebih 500 pengeksport Malaysia, bertujuan untuk mengeratkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) Abu Bakar Yusof berkata, acara itu merangkumi webinar “Strategi Penembusan Pasaran ke China dan Hong Kong” yang diadakan pada 13 Mac, menampilkan pesuruhjaya perdagangannya di China seperti di Beijing, Shanghai, Guangzhou, Chengdu serta Hong Kong, selain misi pecutan eksport sempena Pameran Makanan dan Minuman China mulai 19 hingga 22 Mac 2024.
Acara seterusnya ialah Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Antarabangsa China di Guangzhou (27-30 Jun), yang mana penyertaan Malaysia akan dianjurkan melalui kerjasama Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China dengan sokongan MATRADE.
Program tersebut menyediakan platform kepada PKS tempatan serta antarabangsa untuk mempamerkan perdagangan dan kerjasama, yang mana Pavilion Malaysia akan menampilkan sektor seperti pembuatan pintar, makanan dan minuman, produk halal, fesyen, pelancongan, kraf, hadiah serta perkhidmatan perniagaan penting.
Malaysia juga telah dipilih sebagai negara kehormat bagi Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-21, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Nanning dari 24 hingga 28 Sept.
“Penetapan ini menggariskan peranan penting Malaysia dalam memupuk perdagangan dan perkongsian antara ASEAN dan China,” kata MATRADE.
Ekspo itu akan menampilkan 150 syarikat Malaysia merentasi pelbagai sektor, yang bertujuan menjana RM300 juta dalam jualan eksport.
Ini akan diikuti oleh Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Shanghai (5-10 Nov), yang berpotensi menjana RM160 juta dalam jualan eksport, manakala Pavilion Kebangsaan Malaysia di COSMOPROF Asia 2024 (14-17 Nov) di Hong Kong akan mempamerkan industri kecantikan dan kosmetik Malaysia.
Sementara itu, Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) di Kuala Lumpur (17-19 Dis), yang akan menjadi acara akhir yang besar, dijangka mencatatkan peluang perdagangan dan pelaburan bernilai lebih RM2 bilion. – BERNAMA