Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kerajaan menafikan dakwaan tidak memberi peruntukan Persekutuan kepada mana-mana negeri termasuk Terengganu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.55 bilion untuk pembangunan di Terengganu tahun lalu walaupun royalti petroleum hanya RM786 juta.

Perbelanjaan pembangunan untuk Terengganu juga meningkat kepada RM1.59 bilion tahun ini.

Jumlah royalti petroleum Terengganu juga bertambah semasa pentadbirannya berbanding ketika PAS dan Bersatu berada dalam kerajaan iaitu hanya RM399 juta pada 2022.

Perdana Menteri berkata, , tidak wujud istilah kerajaan bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaan telah melunaskan pemberian wang ihsan untuk negeri itu berdasarkan hasil petroleum tahun 2023 sebanyak RM786 juta.

Pemberian peruntukan kepada negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu lebih tinggi sebanyak RM413.64 juta tahun lalu berbanding RM399 juta tahun 2022.

“Saya hendak jawab kritikan yang kerajaan nafikan hak Terengganu walaupun Menteri Kewangan II sudah beri penjelasan.

“(Selain wang ihsan), bayaran pemberian Persekutuan kepada Terengganu pada 2022 ialah RM399 juta, 2023 kita tambah menjadi RM413.64 juta, dan 2024 ada tambahan lagi, zalim macam mana,” katanya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar mengulas kenyataan Ahmad Samsuri yang  menggesa Anwar memberi penjelasan tunggakan pembayaran wang royalti minyak Terengganu yang belum diterima untuk tahun lalu.

Menteri Besar Terengganu itu menyifatkan tindakan tersebut merupakan penindasan kerajaan negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, saluran peruntukan itu diberi terus kepada rakyat dan tidak melalui Ahli Parlimen masing-masing.

Beliau juga mengingatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan peruntukan setiap kawasan tidak kira Pas atau Bersatu harus diberikan kepada semua.

“Cuma kita tak bagi melalui Ahli Parlimen, kita beri pada rakyat. Kita tumpu pada miskin, kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, di kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan sama ada kau, agama, kawasan atau parti,” katanya.

Anwar turut memberitahu, perbelanjaan pembangunan kepada Terengganu juga lebih daripada jumlah yang disebut wang ihsan itu tetapi salurannya terus kepada projek rakyat.

“Kalau ada kecemasan atau yang mendesak, contoh hakisan di Tasik Kenyir, kita terus beri peruntukan untuk segerakan projek itu,” katanya. – MalaysiaGazette