GAZA – Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB (UNRWA) bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat, memberi amaran kepungan, kelaparan dan penyakit akan menjadi pembunuh utama di Gaza dalam masa terdekat ini.
“Tahap kelaparan yang direka dan dahsyat ini masih boleh dipulihkan dengan membanjiri Gaza dengan bantuan makanan dan menyelamatkan nyawa,” kata hilippe Lazzarini menerusi X.
Sebelum itu, UNRWA dalam satu kenyataan berkata, kebuluran akan berlaku di Semenanjung Gaza, terutamanya bagi penduduk di kawasan terpencil di utara Gaza yang tidak mendapat bantuan kemanusiaan.
Kenyataan itu menyatakan, klasifikasi fasa bersepadu untuk keselamatan makanan menyimpulkan sehingga 1.1 juta orang di Gaza menghadapi tahap bencana ketidakselamatan makanan.
Ia menyerlahkan keselamatan makanan yang semakin merosot dengan cepat, termasuk peningkatan hampir 80 peratus dalam bilangan orang yang menghadapi klasifikasi ketidakselamatan makanan tertinggi sejak penilaian awal Oktober lalu.
Peningkatan itu berpunca daripada operasi pertempuran berterusan, had ketara ke atas akses bantuan kemanusiaan, dan sekatan berat yang dikenakan ke atas bekalan barangan dan perkhidmatan penting.
Israel telah melakukan serangan besar-besaran terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk membalas serangan Hamas melalui sempadan selatan Israel pada 7 Oktober tahun lalu. – Agensi