KUALA LUMPUR – Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap keputusan First Instance Body (FIB) untuk tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelab Bolasepak Perlis United (PUFC) adalah tepat bagi mengelak masalah gaji berulang.
Ia jelas menggambarkan FIB dan Malaysian Football League (MFL) tidak mengambil mudah dalam menilai kemampuan sebuah kelab sebelum memutuskan Perlis United tidak akan beraksi di pentas Liga Super 2024-2025 susulan kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.
Bagi Pekan, keputusan yang dibuat ke atas kelab itu semestinya akan menyelamatkan para pemain daripada terus dibelenggu dengan masalah gaji sekiranya mereka beraksi di Liga Super tanpa memiliki kemampuan kewangan yang kukuh.
“Itulah kadang-kadang dokumen atau surat-surat sokongan yang disediakan oleh pasukan memang akan nampak elok sahaja pada awalnya.
“Semuanya terlihat lengkap dan sempurna sebab yang penting adalah untuk mereka mendapatkan lesen bertanding.
“Tetapi, keputusan yang dibuat oleh FIB dan MFL saya boleh anggap sebagai satu kejayaan untuk membenteras dan membendung perkara tidak sepatutnya yang boleh berlaku kepada kelab dalam liga ini.
“Kalau tak, isu sama pasti berulang dan boleh memalukan lagi pasukan Perlis United seperti mana yang pernah berlaku suatu ketika dahulu,” kata kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dalam masa sama, Pekan tetap menyokong perjuangan Perlis United di pentas Liga M3 dan terus memperbaiki kelemahan yang ada agar suatu hari nanti boleh layak secara merit ke pentas Liga Super.
“Saya bersimpati dengan Perlis United FC tetapi saya tetap yakin bahawa platform terbaik mereka adalah terus kekal beraksi di Liga M3.
“Mereka kena kerja lebih kuat dan sekiranya suatu hari nanti dapat layak secara merit, mana tahu pasti akan muncul penaja-penaja yang benar-benar jujur untuk bersama dengan kelab Singa Utara ini”, tambahnya.
Semalam, PUFC gagal memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) M3 Amateur Football League (AFL) pada 7 Mac 2024.
FIB telah menetapkan syarat untuk memastikan semua kewangan diselesaikan sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada PUFC mengikut empat kriteria tambahan.
Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac 2024 masih belum berakhir namun FIB mengesahkan PUFC telah gagal 3 daripada empat syarat awal itu dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan telah melanggar semua tarikh akhir yang diberikan.
Oleh itu, FIB telah memutuskan untuk tidak memberikan lesen Liga Super 2024-2025 kepada PUFC. – MalaysiaGazette