Tangkap layar dari klip video yang tular

MELAKA – Polis sudah menahan anggota tentera berpangkat lans koperal yang mengasari isterinya seperti tular satu klip video hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, siasatan mendapati kes melibatkan anggota tentera berusia 30 tahun itu berlaku 31 Disember tahun lalu di sebuah flat di Sungai Udang.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 9 malam selepas isterinya berusia 25 tahun menghubungi anggota tentera di Kem Terendak Sungai Udang itu untuk membelikan makanan buat anaknya berusia tiga tahun.

“Sebaik suaminya tiba di rumah, timbul perselisihan faham apabila lelaki itu menuduh pengadu tidak sabar untuk bercerai dan diakui pengadu termasuk akan mengambil tindakan berjumpa pihak atasan.

“Keadaan itu menyebabkan suaminya yang mahu berpisah berang dan  menolak kepala, menarik baju dan menyepak isterinya itu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Zainol,  susulan kejadian itu, isteri suspek membuat laporan polis kerana berasa tertekan selain haknya ditindas sepanjang mengalami masalah rumah tangga.

“Susulan itu, suami pengadu telah ditahan pada 2 Januari lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast