KUALA LUMPUR – Malaysia mengalami kekalahan pertama selepas tewas 0-2 kepada pasukan ranking dunia ke-80 Oman pada perlawanan ketiga Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang menghuni ranking ke-132 dunia, hilang status sebagai pendahulu kumpulan apabila jatuh di tangga ketiga meskipun berkongsi enam mata bersama Oman yang menerajui kumpulan dan Kyrgyzstan di tangga kedua dengan perbezaan gol.

Dua jaringan Oman terhasil pada separuh masa kedua oleh gandingan penyerang Issam Al Sabhi dan Muhsen Al Ghassani sekali gus memberikan permulaan sempurna buat ketua jurulatih baharu Jaroslav Silhavy yang pertama kali membimbing Red Warriors sejak dilantik bulan lepas.

Pada pertembungan itu, anak buah Silhavy yang mendominasi perlawanan sejak permainan bermula buntu dalam usaha mencipta jaringan dalam 45 minit pertama biarpun memiliki beberapa peluang terbaik, namun penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak cemerlang di gawang.

Antara peluang keemasan dimiliki Oman adalah menerusi tandukan Omer Al Malki pada minit ke-14 yang diselamatkan Ahmad Syihan berdekatan garisan gol dan rembatan deras Salaah Al Yahyae dari arah sebelah kiri kotak penalti pada minit ke-32, juga berjaya ditampan keluar.

Bagaimanapun, usaha berterusan Oman berjaya membuahkan hasil apabila akhirnya memecah kebuntuan gol menerusi Issam yang menerima hantaran Ali Sulaiman Al-busaidi sebelum melepasi kawalan La’vere Corbin-Ong dan melepaskan rembatan dari jarak dekat pada minit ke-58.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia pantas menunjukkan respons positif, namun tidak bernasib baik untuk menyamakan kedudukan selepas tandukan Corbin-Ong berpunca sepakan penjuru Mohamad Faisal Abdul Halim hanya menggegar palang pada minit ke-61.

Berbaki kira-kira 20 minit permainan, Pan Gon membuat perubahan taktikal dan pertukaran pemain secara berperingkat dengan memasukkan Endrik Dos Santos, Muhammad Azam Azmi Murad, Paulo Josue, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Darren Lok.

Nasib sekali lagi tidak berpihak Malaysia apabila jaringan Josue pada minit ke-81 dibatalkan kerana ofsaid dan Oman melengkapkan kemenangan penting mereka dengan gol kedua menerusi penyudah Muhsen yang memanfaatkan hantaran Ali Sulaiman pada minit ke-88.

Kemenangan tersebut menyaksikan Oman terus kebal berdepan Malaysia di laman sendiri apabila turut tidak tewas dalam dua pertemuan terakhir sebelum ini sejak 2010.

Malaysia bagaimanapun berpeluang membalas dendam apabila melayani kunjungan Oman pada perlawanan keempat Kumpulan D di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Selasa depan.

Sementara itu, Kyrgyzstan meneruskan momentum kemenangan selepas menundukkan pasukan tuan rumah Taiwan 2-0 dalam satu lagi aksi kumpulan di Kaohsiung. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast