PUTRAJAYA – Kabinet hari ini sebulat suara menyokong tujuh dari lapan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya satu cadangan ditolak dan mahu ia dikekalkan iaitu Perkara 14(1)(e).
“Hari ini saya telah membuat pembentangan kepada Jemaah Menteri dan kesemua cadangan pindaan selepas mengambil kira pendapat semua pihak.
“Ia termasuk setelah Perdana Menteri sendiri membuat perbincangan dengan ketua-ketua parti komponen dan juga ketua-ketua Whip Kerajaan Perpaduan.
“Semua cadangan kami dipersetujui melainkan satu iaitu Perkara 14(1)(e) itu akan kekal seperti mana sebelum cadangan diangkat oleh KDN,” katanya pada sidang media hari ini.
Sebelum ini, kesemua lapan cadangan KDN itu dikemukakan hasil daripada input berdasarkan kepada sesi libat urus yang sangat intensif melibatkan semua pemegang taruh.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Kabinet juga mengingatkan KDN agar melaksanakan proses berkaitan kewarganegaraan itu dengan cermat dan berhati-hati apabila pindaan itu diluluskan kelak.
“Kabinet mahu KDN melaksanakan perkara ini apabila ianya diluluskan dengan sokongan sekurang-kurangnya 148 undi. Pelaksanaan proses permohonan warganegara diterima, ia harus dilakukan dengan peraturan, kaedah dan mekanisme yang lebih jelas dan berhati-hati.
“Perkara tentang kewarganegaraan ini ditangani tanpa pemohon terpaksa menunggu dalam tempoh yang sangat lama seperti sebelum ini,” katanya.
Saifuddin turut memberitahu, sesi libat urus yang terakhir akan melibatkan ahli-ahli Parlimen daripada Kelab Penyokong Kerajaan.
“Selepas ini baru proses Parlimen itu akan berlaku tapi sesi libat urus saya yang terakhir ialah dengan kesemua ahli Parlimen backbenchers pada Isnin nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette