Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan. Foto WAN NABIL NASIR, 17 DISEMBER 2023.

SERDANG – Kanak-kanak lelaki warga asing berusia lima tahun maut selepas terjatuh ke dalam kolam renang dari tingkat 21 sebuah kondominium di Bandar Putra Permai di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata mangsa merupakan warga Yaman dan kejadian disedari seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di sekitar kolam renang yang terletak di tingkat tujuh kondominium itu.

“Pengawal keselamatan itu melihat baju dalam kolam renang sebelum menyedari mangsa terapung dan melaporkan kejadian berkenaan kepada penyelianya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.22 petang hari yang sama.

Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa patah kaki kiri dan terdapat pendarahan di telinga dan hidung.

“Kejadian dipercayai berlaku semasa ibu bapa mangsa berada di bilik tidur manakala mangsa di ruang tamu. Polis tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh dari tingkap di ruang tamu,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA