APMM telah menahan tiga nelayan warga tempatan setelah didapati positif dadah dalam Op Kilau Samudera pada tengah malam tadi

KUANTAN – Tiga lelaki ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sungai Kuantan dalam Op Kilau Samudera kerana positif dadah jenis Methaphetamine, awal pagi ini.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, suspek pertama ditahan ketika saringan air kencing dijalankan di atas bot nelayan manakala dua lagi ditahan di jeti.

“Ketiga-tiga suspek yang ditahan telah diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mazlan, operasi terbabit melibatkan 53 pegawai dan anggota dari Maritim Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang memfokuskan kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

Tambah beliau, lokasi serbuan bertumpu di kawasan komuniti nelayan dan bot-bot nelayan di jeti persendirian sekitar Muara Sungai Kuantan. – MalaysiaGazette