BALIK PULAU – Polis menyita enam motosikal geng mat rempit dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah Barat Daya, di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua motosikal itu disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi bermula 11.30 malam hingga 3 pagi.
“Dalam operasi membanteras kegiatan samseng jalanan itu, polis turut mengeluarkan 29 saman melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkat,a operasi itu dijalankan di lokasi yang menjadi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya selain mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian curi kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah.
Menurutnya, operasi tersebut dilakukan pada setiap minggu bagi mencegah kegiatan mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman awam. – Bernama