Pesara Polis, Abu Samah Abd Rahman bercakap ketika temubual bersama Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Bukan hanya tinggal berdua, suami isteri warga emas ini turut diuji dengan masalah kesihatan apabila diserang penyakit Parkinson sejak empat tahun lalu, sekali gus membataskan pergerakan mereka.

Lebih menyayat si isteri, Arena Abdullah, 81, pula hanya mampu terbaring di ruang tamu rumah apabila diserang penyakit lumpuh satu badan.

Begitu nasib dilalui, Abu Samah Abd Rahman, 76, yang tinggal di PPR Desa Tun Razak dan kini terpaksa hidup berdikari ketika dimamah usia apatah lagi turut berdepan masalah berkaitan lupa seperti Alzheimer.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia mengidap kedua-dua penyakit sejak empat tahun lalu manakala isteri pula diserang lumpuh selepas mengambil vaksin ketika pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Namun dia reda dengan apa yang dilalui hari ini malah bersyukur masih dipanjang usia oleh Allah SWT.

Pesara Polis, Abu Samah Abd Rahman menunjukkan gambarnya pada usia muda ketika temubual bersama Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2024.

“Semua ini sudah diatur oleh Allah SWT namun saya patut bersyukur dikurniakan nyawa yang panjang walaupun apa yang berlaku ini tidak pernah dijangka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di rumah, di sini, hari ini.

Abu Samah merupakan pesara polis dengan pangkat terakhir sebagai sarjan selepas menamatkan perkhidmatan pada tahun 2004 di Balai Polis Bukit Aman.

Selepas pencen, beliau bekerja di sebuah hotel di ibu negara selama 10 tahun bagi kelangsungan hidup dan mengisi masa lapang sebelum Covid-19 mengubah kehidupannya dan isteri.

Katanya, beliau dan Arena diserang penyakit yang sama iaitu Parkinson namun keadaan isterinya menjadi teruk selepas mengambil vaksin tiga tahun lalu hingga hanya mampu terbaring di atas lantai.

Dengan wang pencen polis RM2,000, beliau terpaksa menggajikan seorang wanita Indonesia untuk membantu urusan hariannya dan isteri dengan bayaran RM700 sebulan dan mendakwa tidak menerima mana-mana bantuan tetap secara bulanan.

Pesara Polis, Abu Samah Abd Rahman bersama isterinya yang terlantar, Arena Abdullah hidup dalam serba kekurangan di rumahnya di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2024.

Ditanya mengenai anak tunggalnya, beliau yang kadang-kadang ingat lupa memberitahu anaknya juga tinggal di sekitar ibu kota dan bekerja di sebuah restoran serta memiliki seorang cucu.

Bagaimanapun sumber jiran pula memaklumkan anaknya itu telah meninggal dunia dan sehingga kini belum mendapat pengesahan lanjut.

Mengulas lanjut, Abu Samah memberitahu, beliau dan isteri perlu mengambil ubat di Hospital Kuala Lumpur namun bersyukur kerana ia diberikan secara percuma.

Apa pun lelaki kelahiran Rawang itu mengakui sudah lama tidak membawa isteri berjumpa doktor kerana kos pengangkutan ambulan yang mahal.

“Ubat yang kami ambil itu dapat digunakan selama tiga bulan cuma saya sudah lama tidak membawa isteri ke hospital kerana perlu membayar ambulan sebanyak RM300 sekali pergi,” katanya sambil merenung jauh.

Arena kini hanya mampu terbaring dan sesekali terpaksa mengesot ke bilik air jika tiada pembantu di rumah. Bekas chef di hotel itu turut selesa terbaring di atas lantai tanpa tilam bagi memudahkan untuk bergerak jika berlaku kecemasan.

Isteri pesara polis, Abu Samah Abd Rahman terlantar dan hidup dalam serba kekurangan di rumahnya di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2024.

Sementara itu, berkongsi pengalaman manis sebagai anggota polis, Abu Samah penuh ceria bercerita tentang momen indah dihantar bertugas di luar negara seperti Kemboja dan Kosovo.

Malah dia seolah-olah gembira hanya bertukar balai polis di dalam Selangor dan Kuala Lumpur sahaja sepanjang perkhidmatannya.

Namun dia mengakui rindu dengan zaman lampau itu kerana dikelilingi ramai rakan-rakan.

“Rindu memang rindu hendak jumpa kawan-kawan tetapi ada juga datang melawat sesekali,” katanya.

Ditanya persiapan menjelang Aidilfitri, Abu Samah mengakui dia tidak membeli keperluan baju raya sebaliknya lebih memikirkan cucunya.

“Saya tidak beli apa pun, fikir untuk cucu,” katanya ringkas menutup perbualan.

Sementara itu, bagi meringankan beban beliau pada bulan Ramadan ini, Pengerusi Pertubuhan kebajikan Muhibbah Mesra Rakyat Kuala Lumpur (PERKEMM), Sanah Manap telah hadir menyampaikan sumbangan barangan asas kepada Abu Samah. – MalaysiaGazette

Pesara Polis, Abu Samah Abd Rahman yang hidup dalam serba kekurangan menerima sumbangan dari Presiden PERKEMM, Sanah Manap di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2024.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast