Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia terlibat atau terjejas daripada beberapa serangan kebakaran yang berlaku di Pattani, Yala dan Narathiwat, wilayah-wilayah di selatan Thailand pada awal pagi semalam.

Wisma Putra berkata, konsulat Malaysia di Songkhla sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati, dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kementerian Luar, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan berikutan beberapa serangan kebakaran yang berlaku di selatan Thailand.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla, di alamat No 4, Sukhum Road, Tambon Boryang Muang District Songkhla 90000 Thailand.

Media hari ini melaporkan kira-kira 40 lokasi di sekitar Selatan Thailand diserang pemberontak dengan membakar kedai, kereta dan tiang elektrik, dalam kejadian serentak awal pagi tadi, menurut pihak berkuasa.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terkorban dalam kejadian berkenaan yang berlaku di empat wilayah termasuk Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla. – MalaysiaGazette