MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) merampas lebih 108 ubat tidak berdaftar dari China bernilai hampir RM100,000 dalam serbuan di sebuah premis, di sini, awal bulan ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ruzita Mustaffa berkata, turut dirampas dalam serbuan Ops Tembok melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) pada 5 Mac lalu adalah produk kosmetik tidak bernotifikasi serta dua peranti digital.
“Siasatan awal mendapati, dua suspek lelaki iaitu pemilik permis berusia 20-an dan 50-an aktif menjual ubat termasuk antifungal dan antibiotik serta produk kosmetik yang disyaki berasal dari negara China ini secara dalam talian di platform e-dagang.
“Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk dan kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dr Ruzita turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjual atau menggunakan produk ubat dan kosmetik yang melanggar undang-undang supaya segera menghentikannya.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membeli ubat atau kosmetik dari media sosial atau secara dalam talian yang tiada jaminan kualiti dan keselamatannya.
“Pengguna juga boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik sebelum membuat sebarang pembelian melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’,” katanya.
Selain itu, masyarakat juga boleh menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400 atau
menyalurkan maklumat berkenaan mana-mana ubat atau kosmetik yang meragukan melalui kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my. – MalaysiaGazette