Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (kiri) memerhatikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Juara Integriti kepada penerima ketika hadir pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap titik persamaan antara aktivis, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga kerajaan dalam menyelesaikan isu kewarganegaraan secara holistik yang memanfaatkan semua pihak di negara ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan mengambil pendirian realistik dalam membentangkan cadangan pemindaan kontroversi mengenai kewarganegaraan.

“Kerajaan dalam soal ini mengambil semangat bahawa bukan semua pindaan akan diluluskan di Parlimen. Pada masa yang sama, semua pindaan yang dicadangkan tidak sepatutnya ditinggalkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dalam perkembangan berkaitan menegaskan para aktivis dan NGO juga perlu mempunyai semangat yang sama dalam soal kewarganegaraan.

“Mereka tidak boleh mengharapkan semua tuntutan yang dibawa mereka perlu didengar oleh kerajaan.

“Mereka perlu bertolak ansur dan sikap menang-menang untuk mencari satu titik persamaan bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan secara bersama,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette