Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon

PETALING JAYA – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon hari ini menuntut janji yang diberikan bahawa kualiti padang akan berada dalam keadaan terbaik, bagi perlawanan pusingan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pan Gon berkata, beliau tidak melihat keadaan terkini Stadium Nasional, namun telah dijanjikan oleh mereka yang terlibat bahawa padang itu akan sedia digunakan untuk perlawanan esok.

“Saya tidak lagi melihat padang, juruteknik hari itu menjanjikan kepada saya beliau akan berikan padang yang baik, kami perlukan padang yang baik, jadi kami harapkan esok akan dapat melihat padang yang bagus,” kata jurulatih berusia 54 tahun dari Korea Selatan, pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan padang Stadium Nasional, yang menjadi topik hangat pelbagai pihak berikutan tersebarnya imej dan video keadaan padang yang kurang memuaskan baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Oman Jaroslav Silhavy berkata, pasukannya tidak dapat menjalani sesi latihan rasmi di Stadium Nasional.

Bekas ketua jurulatih Czech Republik yang membimbing Oman menewaskan Malaysia 2-0 di Muscat Jumaat lepas (waktu Malaysia) berkata, mereka tidak mendapat kebenaran untuk menguji padang sebelum perlawanan, kerana dimaklumkan bahawa ia tidak berada dalam keadaan yang terbaik.

“Semalam kami dimaklumkan kami tidak akan berlatih di sana (Stadium Nasional) kerana padang tidak dalam keadaan baik untuk latihan, untuk Malaysia ataupun Oman, situasi tidak bagus untuk kedua-dua pasukan,” kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Berdasarkan maklumat disediakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pasukan kebangsaan akan menjalani latihan di sini, manakala Oman pula di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Kumpulan D menyaksikan Oman, Kyrgyzstan dan Malaysia berkongsi enam mata pada tiga kedudukan tertinggi kumpulan dengan perbezaan gol, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata. – MalaysiaGazette

Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan perlawanan peringkat kumpulan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast