Sambutan peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Kontinjen Pahang tahun  ini di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar hari ini.

KUANTAN – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes kecederaan penuntut Kolej Vokasional (KV) yang didakwa dirotan oleh warden kolej pada pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini masih menunggu rekod perubatan mangsa dan telah merakam keterangan tiga saksi kejadian.

Menurutnya, penuntut lelaki berusia 18 tahun mangsa telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Difahamkan mangsa dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan, punggung dan lengan kanan akibat dipukul sebanyak 10 kali oleh guru lelaki.

“Kita masih lagi menunggu keputusan berkaitan laporan rekod perubatan dan hasil siasatan lengkap telah dijalankan polis.

“Setakat ini hanya satu laporan sahaja diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perhimpunan sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Kontinjen Pahang tahun  ini di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar hari ini.

Yahaya berkata, kes telah disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, pada majlis tersebut seramai 31 pengamal media telah diraikan dan diberikan sijil penghargaan.

Terdahulu MalaysiaGazette pada Sabtu  melaporkan seorang pelajar kolej vokasional yang dikatakan mengalami kecederaan setelah dirotan oleh guru semasa perhimpunan pagi di hadapan pelajar lain.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelajar Kolej Vokasional dakwa cedera dirotan guru