Onn Hafiz Ghazi ketika mengadakan lawatan mengejut di CIQ BSI Ahad lalu. Foto FB Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Sebahagian kaunter Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ditutup ketika Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan mengejut pada jam 11.20 pagi, Ahad lalu kerana ia bukan waktu puncak.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) berkata, pihaknya dimaklumkan ketika itu pegawai yang bertugas sedang dalam giliran untuk rehat selepas waktu puncak.

Waku puncak biasa adalah dari jam 4 pagi sehingga jam 9 pagi dan dari 5 petang sehingga 9 malam, kata presidennya, Ajeet Singh a/l Gurbax Singh.

Malah, ada pegawai yang perlu melaksanakan urusan pentadbiran yang kebiasaannya dilakukan pada luar waktu puncak.

“KPISM melihat perkara ini adalah rutin biasa dan tiada kesesakan yang luar biasa berlaku disebabkan insiden terkini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan itu, Ajeet menzahirkan terima kasih kepada Onn Hafiz yang sentiasa memberi keutamaan kepada isu kesesakan lalu lintas di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sebalik kesibukannya dengan pelbagai isu rakyat yang perlu diselesaikan.

“Beliau adalah seorang menteri besar yang peka dan berani memberi teguran supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan juga kementerian. KPISM terhutang budi terhadap khidmat bakti yang dicurahkan oleh Menteri Besar Johor.

“Kami di peringkat kesatuan sekerja dan selaku wakil suara pegawai imigresen, sanjung tinggi usaha ini serta sentiasa sealiran dengan kerajaan agar setiap penambahbaikan dan dasar semasa dapat membawa manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurutnya, KPISM sentiasa berhubung rapat dengan pegawai yang bertugas di pintu masuk utama negara terutamanya BSI yang juga merupakan antara pintu masuk tersibuk di dunia.

“Kita semua sedia maklum pegawai imigresen bertugas dalam keadaan yang tertekan kerana terpaksa melayan pelbagai karenah dan kecaman. Oleh itu pihak kesatuan sentiasa memberi sokongan moral yang padu pada mereka agar terus gigih berkhidmat untuk negara.

“KPISM dan JIM sentiasa bersama dalam memastikan kebajikan pegawai terbela dan dipelihara meskipun tugasan yang semakin mencabar saban hari sebagai penjawat awam. KPISM sentiasa berganding bahu dengan CUEPACS dalam memastikan pengurusan skim perkhidmatan dan kebajikan yang baik terhadap penjawat awam yang menjadi tulang belakang dalam penyampaian sistem dan dasar-dasar kerajaan.

“KPISM sentiasa mengambil pendekatan berlapang dada terhadap mana-mana individu atau orang berkepentingan berhubung teguran yang diberikan kepada pegawai imigresen dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Ajeet meminta Onn Hafiz memberi perhatian kepada isu Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Skudai ke Ayer Hitam yang sentiasa sesak kerana hanya mempunyai dua laluan sahaja berbanding tiga laluan dan empat laluan di baki lebuhraya sehingga ke Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Onn Hafiz kecewa 13 kaunter CIQ BSI tidak beroperasi