Onn Hafiz bertanya sesuatu kepada pengguna di CIQ BSI semalam selepas mengadakan lawatan mengejut susulan menerima banyak aduan mengenai kesesakan semula di laluan berkenaan.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor kecewa dan kesal apabila mendapati pengoperasian pintu sempadan negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), masih belum berada pada tahap kecekapan yang penuh.

Dalam lawatan mengejutnya pagi semalam, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendapati, lebih 13 kaunter di laluan kereta tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan.

Menurut beliau, lawatan itu dibuat selepas menerima banyak aduan daripada pengguna.

“Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, meskipun isu kesesakan ini semakin baik, itu tidak bermakna kita semua sudah boleh berpeluk tubuh,” katanya.

Laluan masuk ke CIQ BSI yang sesak dengan kenderaan dari Singapura. Foto FB Onn Hafiz Ghazi

Susulan itu, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Menteri Dalam Negeri dan amat berharap agar isu ini tidak berulang lagi.

Tegasnya, pengoperasian CIQ BSI yang lebih efisien dan konsisten perlu dipertingkatkan ke tahap maksimum.

“Semoga segala usaha bagi melancarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan ini mampu diurus dengan baik dengan kerjasama daripada semua pihak. Insya-Allah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette