Peguam KK Mart, Rajpal Singh bercakap pada media mengenai kes stoking yang mempunyai cetakan Kalimah Allah di perkarangan Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

SHAH ALAM – Salah seorang peguam yang mewakili KK Mart dan dua pengarahnya yakin pasukannya ada peluang cerah untuk memenangi kes pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini.

Rajpal Singh bagaimanapun berkata, anak guamannya belum lagi didapati bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.

“Mereka (pihak pendakwaan) merasakan mereka ada kes, sebab itu mereka membuat pendakwaan di mahkamah mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan hari ini.

“Kami menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Anak guam saya telah mengaku tidak bersalah dan mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya ketika ditemui pihak media di luar mahkamah.

Hari ini pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan, dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Chai,57, dan Loh, 53, yang merupakan pengarah syarikat terbabit didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan itu dijalankan di hadapan hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Tiga individu lain yang merupakan pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn. Bhd. yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart turut dikenakan pertuduhan.

Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat yang didakwa bersubahat dengan KK Mart dan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 298.

Ketiga-tiga mereka yang mempunyai pertalian antara satu sama juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Seksyen 298 itu membabitkan perbuatan menyebut perkataan atau sebagainya dengan sengaja dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang.

Jika sabit kesalahan pelakunya boileh dipenjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Selain individu, pihak pendakwaan turut mendakwa KK Mart dan Xin Jiang Chang sebagai entiti dalam kes itu.

Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jaminan sebanyak RM10,000 seorang.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya yang terdiri daripada Masri Mohd Daud, Khairul Azreem Mamat, Ku Hayati Ku Haron, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Mohd Azhar. – MalaysiaGazette