SUNGAI BESAR – Ketika beras putih tempatan (BPT) dikatakan “hilang” dari pasaran, bekalan beras import yang mendominasi 40 peratus permintaan masyarakat sebelum ini dilihat seolah-olah menguasai keperluan negara.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Sungai Besar, Sallehuddin Mohd Iskan berkata, lebih pelik apabila BPT yang membekalkan 60 peratus makanan ruji negara seolah-olah digantikan dengan beras import.
“Penyumbang utama beras negara 60 peratus adalah BPT, sepatutnya ada bekalan di pasaran, tetapi hanya beras import 40 peratus sahaja di pasaran.
“Kita pun rasa hairan kenapa bekalan padi 60 peratus yang sepatutnya ada di pasaran tidak wujud.
“Tapi bekalan 40 peratus itu (beras import) yang menguasai pasaran sekarang, lebih hairan ia cukup untuk membekalkan beras di seluruh negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau juga berkata, isu beras tidak akan selesai jika kerajaan terus berlengah dan tidak menentukan harga BPT dalam kadar segera.
“Sekarang yang kita dengar bukan lagi BPT, tapi beras putih Madani (BPM). Saya pun tak tahu kenapa ditukar nama.
“Itu tiada masalah kepada pengguna, yang penting kerajaan perlu pastikan barang kawalan ini diatasi dengan segera.
“Sudah pasti pengguna perlukan BPT yang asal dengan harga RM26.50 untuk 10 kilogram seperti sebelum ini,” katanya.
Selain itu, ketiadaan BPT di pasaran sangat menimbulkan tanda tanya sedangkan kadar pengeluaran beras tempatan menunjukkan peningkatan pada musim tuaian sebelum ini.
“Berdasarkan laporan yang telah diberikan oleh Exco Selangor, pengeluaran padi juga meningkat untuk musim yang lepas,” katanya.
Menurut beliau, walaupun pengilang membeli padi daripada pesawah pada harga tinggi iaitu RM1,670 satu tan metrik, namun BPT seolah-olah “lesap” di pasaran.
Beliau tidak menolak kemungkinan ketiadaan BPT di pasaran kerana pengilang disyaki tidak memproses padi tersebut.
“Pada musim lepas, harga padi di kawasan Sungai Besar mencecah RM1,670 satu tan metrik dan harga ini lebih tinggi dari harga sebelum ini.
“Para pengilang sanggup beli pada harga tinggi sebab mereka memerlukan stok padi, sekali gus bekalan beras mencukupi di kilang mereka.
“Apa yang kita lihat adalah kemungkinan padi itu tidak diproses, kita pun tak tahu, tapi inilah hakikat yang berlaku. Ini satu perkara yang pelik bagi kami.
Ditanya tentang kemungkinan ketiadaan BPT di pasaran dek kerana sumber makanan itu dieksport ke luar negara, beliau bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
“Dengan adanya peningkatan harga padi, menyebabkan pengilang sudah tentu mengharap harga beras akan dinaikkan dari RM26.50 kepada harga yang lebih tinggi.
“Kita pun tak tahu beras itu (BPT) disimpan ataupun dieksport ke luar negara.
“Tak mungkin BPT dieksport sebab setakat ini kita tiada laporan mengatakan beras kita dieksport ke tempat lain.
“Kita bukannya pengeksport beras, beras adalah barang kawalan,” katanya.
Sementara itu, katanya, belum pun isu BPT selesai, kini timbul pula isu benih padi sah pula tiada bekalan di pasaran.
“Harga padi benih lebih tinggi tinggi daripada beras, bila pengilang sanggup beli pada harga tinggi, sudah tentu mereka perlukan keuntungan.
“Sebab itu mereka akan jual benih padi itu pada harga yang mahal. Masalahnya sekarang ini, para petani mengeluh kerana benih padi tiada di pasaran.
“Sebenarnya benih padi ada, cuma masalah sekarang benih padi pada harga RM45 satu kampit tiada di pasaran, yang ada hanya RM55 hingga RM60 sekampit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
kalau beras tempatan masuk beg import nak kata beras halal ke haram tu??? mungkin kalau pas yang jadi kerajaan tiada yang haram langsung kot . tak kan lah kastam tak tahu berapa banyak kilo ke beg ke beras import masuk . ini siapa sebenar nya yang kerja tidur ni . atau kastam terima rasuah kot .