Satees.

GEORGE TOWN – Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia atau Urimai bersedia menjalinkan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Parti yang diketuai Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy itu turut menyatakan tiada calon daripada pihaknya akan ditampilkan dalam PRK terbabit.

Setiausaha Jawatankuasa Interim Parti Urimai, Satees Muniandy berkata, keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Interim parti selepas bermesyuarat semalam.

Jelas beliau, jawatankuasa juga mengambilkira pandangan daripada pimpinan negeri Selangor Parti Urimai perlu menonjol memandangkan 18 peratus pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu berketurunan India.

“Antara cadangan yang diketengahkan termasuk seorang anak tempatan dicalonkan dengan simbol bebas, memandangkan pendaftaran parti sehingga kini tidak diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

“Walaubagaimanapun, jawatankuasa interim berpendapat, PRK ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan penolakan masyarakat India terhadap gabungan politik PH-BN dan Kerajaan Perpaduan.

“Sehubungan itu, mesyuarat sebulat suara bersetuju tidak akan meletakkan calon bebas di KKB kerana ia akan memanfaatkan PH-BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Satees berkata, jawatankuasa juga memberi mandat sepenuhnya kepada Pengerusi Interim parti, Ramasamy untuk mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang dalam usaha untuk menyatupadukan tenaga bagi menghadapi PRK Kuala Kubu Baharu.

“Urimai akan turun padang untuk berkempen dan memenangkan calon umum pembangkang jika kesepakatan dapat dicapai oleh kesemua parti terbabit.

“Kita juga menyeru supaya parti pembangkang untuk memilih seorang calon mudah menang bagi mengalahkan gabungan PH-BN pada PRK berkenaan,” katanya.

Media pada 21 Mac lalu melaporkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor, Lee Kee Hiong, 58, meninggal dunia akibat kanser. 

Berita kematian Ahli Dewan Undangan DAP itu disahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan.

Kee Hiong adalah wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya negeri Selangor 2023. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ingat masyarakat india apa?jangan duh memalukan lah ada banyak benda untuk buat pada masyarakat india.nak tebuk atap lah ceritanya?ramasamy

Comments are closed.