Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur kini mengalih fokus terhadap majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tidak hanya bertumpu kepada tangkapan kumpulan PATI di ibu negara.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menetapkan indeks prestasi utama (KPI) bagi setiap pegawainya dalam penahanan majikan yang melakukan kesalahan menggaji PATI di ibu kota.

“Inisiatif dan strategi JIM untuk tahun 2024 ini adalah bagi menangani kebanjiran warga asing dengan tumpuan lebih diberikan di 20 kawasan hotspot di ibu kota ini antaranya Pasar Pudu, Jalan Silang, KLCC dan Kota Raya.

“Di setiap lokasi hotspot ini, kita akan menempatkan seorang pegawai kanan bagi memerhati dan memantau kawasan itu dengan setiap orang ditetapkan KPI setiap bulan membabitkan tangkapan majikan yang menggajikan PATI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media di Pejabat JIM Kuala Lumpur, KDN Jalan Duta hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohammed Saupee menjelaskan, sepanjang tahun lalu sebanyak 871 operasi dijalankan oleh JIM dengan 7,601 warga asing diperiksa dan 2,137 PATI ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menerusi operasi sama, katanya, pihak JIM Kuala Lumpur juga menahan lima majikan dan 27 majikan pula dikenakan kompaun membabitkan kutipan sebanyak RM428,500 sepanjang tahun lalu.

“Manakala, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, sebanyak 243 operasi telah dilaksanakan membabitkan 1,716 warga asing diperiksa dengan 710 PATI serta 44 majikan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Semua majikan itu membabitkan 43 individu tempatan serta seorang warga Bangladesh yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, kita juga mengeluarkan sebanyak 13 kompaun terhadap majikan membabitkan kutipan sebanyak RM205,700 bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, seramai 2.5 juta warga asing mempunyai permit kerja yang sah di seluruh negara dengan 40 peratus daripada mereka berada di ibu negara.

“Adalah tidak dinafikan bahawa ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai perspektif menganggap semua warga asing adalah PATI tetapi tidak membabitkan ‘Mat Salleh’ yang dianggap sebagai pelancong.

“Sebenarnya itu tak benar kerana ada dalam kalangan mereka (Mat Salleh) yang sebenarnya adalah PATI apabila didapati tinggal lebih masa serta salah guna pas dengan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang.

“Justeru itu, wartawan juga boleh memainkan peranan dengan menjadi mata telinga dan tangan kecil kepada pihak JIM menerusi penulisan berita bagi memastikan PATI tidak selesa berada di negara ini apabila mereka melanggar undang-undang.

“Misi dan visi kita jelas iaitu mahu menjadikan ibu kota sebagai bandar raya yang bebas dari lambakan  PATI dan menjamin keselesaan kepada rakyat tempatan kita,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast