Fadzil A Bakar didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan minyak masak peket dan gula pasir melebihi kuantiti dibenarkan tahun lalu,

MELAKA – Padah memiliki barang kawalan minyak masak peket dan gula pasir melebihi kuantiti dibenarkan tahun lalu, pengarah urusan restoran RB Bistro didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Fadzil A Bakar, 66, selaku orang kena saman (OKS) sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, OKS selaku perkongsi perniagaan RB Bistro didakwa memiliki barang berjadual iaitu 267 unit minyak peket 1 kilogram (kg) jenama Salam, 253 unit gula pasir kasar 1kg jenama Prai dan 48 unit pasir kasar (gula jernih) jenama Prai.

Perbuatan itu dilakukan di restoran berkenaan beralamat di KM 37-1, Jalan Perniagaan Jelatang 2, Pusat Perniagaan Jelatang, Alor Gajah, kira-kira pukul 11.45 pagi 12 Disember 2023.

Dia didakwa melanggar Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu menggunakan barang berjadual melebihi kuantiti sepertimana Bahagian IV Jadual dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 22(1) peraturan sama.

Sabit kesalahan, OKS boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam, R Maligaa merayu hukuman denda minimum kerana OKS menghidap sakit jantung, sudah insaf serta menanggung empat anak selain adalah kesalahan pertama tertuduh sejak 10 tahun menguruskan rangkaian restorannya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Suhana Mohd bagaimanapun memohon hukuman berat atas faktor kepentingan awam.

Hujahnya, jika perbuatan sedemikian tidak dibendung, ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan, ketirisan dan penyelewengan duit subsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati kumpulan sasar.

Selain itu, katanya, restoran RB Bistro yang beroperasi sejak 10 tahun lalu mempunyai tujuh cawangan besar dan mampu membuat keuntungan setiap bulan sepatutnya lebih peka dengan undang-undang.

Mahkamah kemudian mengarahkan OKS didenda RM15,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette