Mohd Puad Zarkashi waris sultan sulu ventilator keadilan najib sistem rahmah
Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan komen Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), terhadap Menteri Besar Johor dalam isu kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), seolah-olah wujud ‘sindrom denial’ dan ‘Little Napoleon.

Pemimpin UMNO itu mempersoalkan, apakah pertukaran shift akan menjadi alasan selamanya sehingga masalah kesesakan di CIQ BSI juga akan kekal selama-lamanya?

Katanya, ia bercanggah dengan konsep madani yang mengutamakan tata kelola baru yang lebih baik dan efisien.

“Apakah sistem “pertukaran shift” lapok yang jadi punca kesesakan parah di BSI tidak boleh dibetulkan?

“Ia perlu diperbaiki supaya bukan saja pegawai tidak terbeban tetapi rakyat juga tidak terbeban kerana kesesakan di CIQ BSI.

“Meminta MB Johor tumpu perkara lain untuk diselesaikan bukti wujud mentaliti sempit untuk menjadi negara madani,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh dalam satu kenyataan memuji tindakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kerap mengadakan lawatan ke pintu masuk utama negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI),

Katanya, beliau adalah seorang Menteri Besar yang peka dan berani memberi teguran supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan juga kementerian.

Bagaimanapun katanya, Onn Hafiz juga perlu memberi tumpuan kepada isu rakyat khususnya melibatkan golongan B40.

Katanya, meskipun di Johor terdapat pelbagai isu rakyat yang perlu diselesaikan seperti rumah rakyat, kesesakan lalu lintas di Johor Bahru, kekurangan barangan subsidi seperti minyak peket dan beras tempatan, bekalan air yang sentiasa terputus, isu perparitan di pendalaman dan kawasan rendah yang mudah banjir, namun kesesakan lalulintas di BSI dan KSAB tetap diberi keutamaan.

Ajeet Singh yakin banyak lagi kawasan kampung yang belum sempat Menteri Besar Johor turun padang dan lawat serta menjiwai kesusahan mereka.

Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga Spreler Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, Pelan Maju Johor menjelang 2030 adalah komprehensif dan tidak setakat isu air disebut Presiden KPISM, tetapi, termasuk isu kesesakan di pintu masuk selatan negara.

Ini kerana katanya, impaknya besar kepada ekonomi Johor dan negara memandangkan bukan sahaja untuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, tetapi rakyat negara jiran itu yang melancong ke Malaysia.

“Ia baik untuk perniaga dan pelabur Singapura yang berulang alik ke Johor termasuk ekspatriat luar negara yang tinggal di Singapura.

“MB Johor turun padang beberapa kali seawal dan selepas subuh ke BSI dan kompleks CIQ. Itu bukti dia serius untuk selesai masalah.

“Lawatan mengejut dan turun padang adalah cara terbaik untuk selesai masalah. Jangan cuci tangan dan sapu bawah karpet” tambahnya. – MalaysiaGazette