Pandak Ahmad

JOHOR BAHRU – “Saya sifatkan komen CUEPACS terhadap Menteri Besar Johor hanya menegakkan benang yang basah”.

Itu kata  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad mengenai  kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz untuk memberi sebarang teguran kepada penjawat awam secara berhemah tanpa perlu diuar-uarkan dalam media sosial.

“Saya berpandangan Setiausaha Agung CUEPACS itu tidak benar-benar tahu masalah yang berlaku di pintu sempadan Johor. Semak dan turun padang sebelum nak buat kenyataan.

“Masa puncak CIQ untuk hari minggu pun tak tahu. MB turun padang hari Ahad. Buat pengetahuan CUEPACS, waktu puncak hari bekerja dan cuti hujung minggu berbeza.

“Kalau hari bekerja, pagi dan petang sahaja akan sesak. Tapi kalau hujung minggu, sepanjang hari jem sebab orang memang keluar masuk Johor-Singapura,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Pandak lagi, sebagai ahli politik, mereka kena hadap keluhan dan komen rakyat.

“Rakyat hubungi kami dan meletakkan tanda pagar di media sosial, sebagai pemimpin kita tidak boleh berdiam. Sekiranya tidak berkongsi masalah sebenar di sosial media, macam mana rakyat nak tahu,” katanya.

Pada Khamis lalu Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin yang menyatakan Onn Hafiz tidak seharusnya menegur kakitangan kerajaan dan ia tidak menggambarkan situasi sebenar.

Menurut kenyataan, Pandak beliau yakin segala usaha Menteri Besar Johor bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.

Menurutnya, sekiranya pentadbiran di CIQ baik dan lancar, rakyat juga akan menghargai jasa dan komitmen penjawat awam. – MalaysiaGazette