KUALA LUMPUR – Forte Greenergy Sdn. Bhd. (Forte) dan Curve H2 Inc. (Curve H2) mengumumkan kerjasama strategik bersama Malaysia Green Technology and Climate Change Cooperation (MGTC) dan SEDC Energy Sdn. Bhd. (Sarawak Economic Development Corporation Energy) untuk menubuhkan loji pertama di Malaysia yang berfokuskan kepada penghasilan hidrogen dan grafit.
Inisiatif itu merupakan langkah penting dalam sektor tenaga di Malaysia di mana ia akan menggabungkan kepakaran dari pemimpin industri dan badan kerajaan untuk memajukan penyelesaian tenaga bersih dan menggalakkan pembangunan lestari.
Pengarah Eksekutif Forte, Azfar Azri Farid berkata, kerjasama itu membuktikan komitmen pihaknya untuk memajukan penyelesaian tenaga bersih dan pembangunan lestari di Malaysia
“Dengan mengoptimumkan potensi pengeluaran Hidrogen Turquoise dan Grafit, kerjasama ini bertujuan untuk memberi komitmen yang penuh terhadap matlamat peralihan tenaga bersih untuk negara serta kemakmuran ekonomi.
“Gabungan strategik ini juga menyatukan kepakaran Forte dalam penyelesaian tenaga bersama teknologi Curve H2, membolehkan pemprosesan Metana kepada Hidrogen dan bahan karbon bernilai tinggi.
“Teknologi modular Curve H2 memastikan proses penghasilan Hidrogen yang stabil dan berdaya tahan terhadap fluktuasi sumber gas asli,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama itu berlangsung sempena delegasi Team Canada Trade Mission ke Malaysia yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Kanada, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Curve H2, Mark Goorwah berkata, pihaknya sedang meluaskan operasi dan bekerjasama dengan rakan kongsi di Amerika Utara dan Timur Tengah, selain Malaysia.
“Kami berasa amat kagum dengan kemajuan pesat Malaysia di dalam membangunkan ekonomi hidrogen,” katanya.
Dalam pada itu, kos anggaran pelaburan awal untuk dua tahun pertama termasuk loji demonstrasi dan pembangunan produk adalah kira-kira RM56.5 juta dan RM282.8 juta untuk peringkat pertama.
Ia merupakan satu rancangan pengkomersilan selama lima tahun yang menetapkan pembangunan loji demonstrasi mudah alih (mobile) pada tahun 2024, diikuti oleh modul penghasilan yang boleh diubah suai dalam tahun-tahun seterusnya.
Kerjasama itu tidak hanya sejajar dengan trend tenaga bersih global tetapi juga memberikan sumbangan yang besar kepada Plan Peralihan Tenaga di Malaysia kepada ekonomi rendah karbon dan aspirasi untuk kemajuan teknologi tinggi. – MalaysiaGazette