Fadhlina Sidek.

NIBONG TEBAL – Guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun direhatkan daripada tugas sehingga kes selesai.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kes itu kepada pihak polis termasuk pendakwaan sebelum tindakan lanjut diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Buat masa ini, kita ambil tindakan untuk melindungi anak-anak sepenuhnya. Jadi guru ini tiada kaitan langsung ataupun kita panggil akses kepada pelajar.

“Kita ambil pendekatan melindungi sepenuhnya para pelajar kita dan dia (guru berkenaan) kita sebut direhatkan sehingga siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada  Majlis Berbuka Puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, KPM hanya boleh mengambil tindakan terhadap guru itu selepas semua siasatan polis selesai.

“Dia (guru) kena mematuhi semua proses siasatan terlebih dahulu. Selepas siasatan polis dan sebagainya barulah kita boleh ambil tindakan di peringkat KPM,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis sedang menjalankan siasatan ke atas seorang guru wanita yang dikatakan melakukan kesalahan seksual terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 12 Disember lalu dengan dakwaan suspek berusia 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji bersama di perpustakaan sekolah.

Katanya, laporan dibuat pada 10.30 malam oleh ibu mangsa berusia 46 tahun yang mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anak lelakinya, selepas mangsa pulang dari ulang kaji Matematik bersama suspek.

Selain itu, tular juga di media sosial berhubung guru tersebut bercinta dengan pelajarnya walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak. – MalaysiaGazette