Hameed (dua dari kiri) melihat bacaan data selepas meninjau lokasi Rumah Pam air di Tasek Ayer Keroh yang digunakan untuk mengepam 15 juta liter air mentah setiap hari ke Loji Rawatan Air Bertam.

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka memberi jaminan bekalan air bukan sahaja cukup untuk menampung keperluan pengguna pada Hari Raya Aidilfitri ini malah sehingga Jun walaupun berdepan cuaca panas.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ia susulan paras air di Empangan Jus masih berada pada tahap 81.1 peratus.

Menurutnya, dengan bacaan dan merangka beberapa pelan kontigensi adalah tipis untuk negeri ini khususnya daerah Alor Gajah mengalami gangguan air seperti dilaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) semalam.

“Loji Rawatan Air (LRA) Gadek yang merupakan loji rawatan utama bagi membekalkan air terawat untuk daerah Alor Gajah memproses sebanyak 76 juta liter air sehari (MLD) dari Sungai Batang Melaka sebagai sumber utama.

“Jika sungai ini mengalami penyusutan paras air di muka sauk Gadek, aras air akan diimbangi dengan melepaskan simpanan air dari Empangan Jus bagi memastikan loji ini terus membekalkan air terawat kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Hameed Mytheen Kunju Basheer

Semalam media melaporkan NADMA berkata, empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah mencatat penurunan simpanan sumber air mentah kepada paras kritikat setakat kelmarin akibat cuaca panas.

Menurut NADMA lagi, JPS pada 25 Mac lalu mengeluarkan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai, iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka.

Keadaan itu mungkin akan menyebabkan masalah gangguan bekalan air di daerah Sik, Kedah; Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Kota Bharu (Kelantan); serta Alor Gajah (Melaka).

Mengulas lanjut Hameed berkata, meskipun pelepasan air di Empangan Jus dilakukan, ia dibuat secara berhemah tanpa ada limpahan yang akan menyebabkan pembaziran sumber di muka sauk Gadek.

“Malah menurut laporan Jabatan Meteologi Malaysia (MetMalaysia) musim panas akan berakhir dan hujan lebat melanda negara bermula 29 Mac sehingga Mei ini.

“Situasi itu dijangka memulihkan keadaan paras sungai-sungai di Melaka sekaligus akan meningkatkan semula paras simpanan air di empangan-empangan Melaka termasuklah Empangan Jus.

“Jadi dijangkakan kemungkinan untuk berlaku gangguan air di daerah Alor Gajah seperti dilaporkan semalam adalah tipis kerana selain daripada loji utama Gadek, sebahagian daerah Alor Gajah juga dibantu oleh LRA Sungai Siput dan LRA Bertam,” katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sentiasa mengambil kira semua faktor untuk meningkatkan kemampanan sumber air negeri bagi menghadapi musim panas ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast