Gambar hiasan

TAHUKAH anda, sebenarnya sejak dari tahun 2017, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membenarkan sehingga 30% daripada keperluan kredit untuk pengijazahan diambil secara kursus dalam talian dan dibuat secara pindahan kredit oleh pelajar universiti setelah memenuhi syarat tertentu.

Pelajar lepasan SPM dan STPM kini boleh memulakan pengajian universiti mereka dalambidang pilihan tanpa menunggu panggilan atau pendaftaran sebagai pelajar mana-mana universiti atau institut pengajian tinggi lain.

Dengan cara ini, mereka dapat mencapai dua matlamat penting.

Pertama, meringankan beban pengajian, apabila hanya perlu melengkapkan baki jumlah 70% kredit pengijazahan dengan kursus yang perlu diambil secara bersemuka pada keseluruhan tempoh pengajian dan kedua, kemungkinan untuk memendekkan tempoh pengajian, oleh kerana telah menyelesaikan sehingga 30% daripada keperluan kredit untuk pengijazahan secara pembelajaran kendiri.

Bagi memudahkan kefahaman, mari kita buat andaian berdasarkan situasi seorang pelajar lepasan STPM yang bernama Balqis yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Malaya dalam bidang Sains Aktuari.

Balqis boleh menyemak dan meneliti struktur kurikulum Sains Aktuari dari laman sesawang UM dan mendapatkan senarai kursus bagi program tersebut, sebagai persediaan untuk mengenal pasti kursus yang bakal di pelajari apabila beliau mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa pada semester satu akan datang.

Beliau boleh membandingkan senarai kursus ini, dengan mana-mana kursus dalam talian yang berkaitan, sama ada ia ditawarkan oleh UM atau universiti lain dari dalam dan luar negara.

Dengan mengambil kira pernyataan Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) yang berpadanan dengan kursus yang ditawarkan oleh UM, Balqis boleh belajar secara kursus dalam talian sementara menunggu tawaran panggilan masuk ke universiti, bagi membolehkan beliau mendapatkan sijil microcredential yang mengiktiraf bahawa beliau telah mencapai CLO yang berkaitan.

Berbekalkan sijil microcredential daripada kursus atau gabungan kursus dalam talian ini, Balqis berpotensi memohon pindahan kredit daripada UM untuk mana-mana kursus berkaitan. Setelah diterima masuk ke UM, Balqis perlu membuat permohonan pindah kredit bagi kursus yang beliau telah lengkapkan.

Apabila menerima permohonan daripada Balqis, UM akan memulakan satu proses pindahan kredit yang melibatkan pengesahan bahawa sijil microcredential Balqis tersebut adalah tulen serta mempunyai kuasa untuk mengesahkan bahawa keseluruhan CLO yang perlu dicapai dapat dibuktikan dengan melihat kepada pencapaian penilaian dari platform tersebut.

Selain itu, UM juga boleh mengadakan penilaian khas kepada Balqis untuk beliau menunjukkan pencapaian CLO kepada kursus yang hendak dipindah kredit.

Sekiranya berjaya, kredit daripada sijil microcredential akan direkodkan sebagai sebahagian daripada pencapaian kredit untuk Balqis bergraduat dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari Universiti Malaya.

Pelajar yang sedang menjalani program pengajian di universiti juga berpeluang untuk belajar secara dalam talian dalam masa mereka sendiri dan memohon pindahan kredit kepada mana-mana kursus yang belum diambil secara konvensional.

Peluang seperti ini yang telah tersedia dan diterima oleh sektor pendidikan tinggi dalam negara perlu dimanfaatkan secara maksimum oleh para remaja lepasan SPM dan STPM yang merupakan generasi Gen-Z yang menghuni dunia yang dilihat sebagai yang VUCA (tidak stabil-volatile, tidak pasti-uncertain, rumit-complex, dan kabur-ambiguous).

Microcredential merupakan trend jangka panjang yang dilihat oleh ramai pakar sebagai masa depan sektor pendidikan. Ia mendukung budaya pendidikan sepanjang hayat dan
semakin mendapat tempat dikalangan majikan sebagai model pendidikan just in time untuk kemahiran khusus yang mereka perlukan bagi menghadapi cabaran dunia perniagaan yang sentiasa berubah.

Oleh itu tidak hairan didapati, syarikat gergasi teknologi seperti Microsoft dan Google, masing-masing menawarkan kursus dalam talian mereka sendiri, dengan sijil berbentuk digital badge dan microcredential dalam bidang keperluan IT seperti perkomputeran awan, sekuriti siber, kecerdasan buatan (AI), sains data dan lain-lain. Manakala, LinkedIn yang merupakan pelantar perniagaan dan juga professional, menawarkan kursus dalam talian merangkumi kemahiran perniagaan, kreatif dan juga perisian.

Mereka yang ingin mendapatkan perkerjaan yang lebih baik, ataupun merunding kenaikan pangkat serta gaji, telah mula menggunakan kelayakan microcredential sebagai sandaran
bagi membuktikan kemahiran yang mereka miliki, bagi menambah keyakinan dan juga kepercayaan kepada majikan.

Sebagai rumusan, kursus dalam talian secara microcredential adalah model pendidikan masa hadapan yang sedang merubah lanskap pendidikan tinggi dan juga alam pekerjaan.

Peluang telah tersedia bagi pelajar lepasan SPM dan STPM bagi memulakan pembelajaran pendidikan tinggi secara dalam talian dari universiti dan profesor ternama dunia, dan memindahkan pula kredit pengajian tersebut bagi mendapatkan ijazah mereka.

Semua pihak, tidak kira pelajar yang masih bersekolah, lepasan SPM dan STPM, suri rumah tangga, pekerja profesional, mahupun pesara, mempunyai peluang memperoleh kemahiran baharu mahupun mengesahkan kemahiran sedia ada, dengan, mengambil kesempatan daripada penawaran kursus dalam talian secara microcredential untuk maju dalam bidang yang diminati.

Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kini menjadi lebih terbuka dengan penawaran microcredential secara dalam talian yang ditawarkan oleh universiti dan entiti korporat dan ianya diiktiraf oleh kerajaan.

Dr. Zahiruddin Fitri Abu Hassan
Mantan Ketua eLearning, Pusat Pembangunan dan Pengayaan Akademik (ADEC), Universiti Malaya