Penunggang motosikal maut dilanggar bas kilang dalam kejadian di Kuala Ketil, Kedah malam tadi.

BALING – Seorang pemandu jengkaut (backhoe) maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah bas kilang dalam kejadian di Kuala Ketil dekat sini malam tadi.

Kejadian 8.10 malam itu mengakibatkan mangsa, Ooi Su Ching, 43, maut di lokasi susulan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan  Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati bas kilang yang dipandu lelaki berusia 38 tahun itu dalam perjalanan dari Bayan Lepas, Pulau Pinang menghala ke pekan Kuala Ketil untuk menghantar penumpang.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Jelas beliau, seramai tujuh penumpang yang merupakan pekerja kilang berada dalam bas berkenaan ketika itu.

“Apabila tiba di tempat kejadian pemandu bas berkenaan yang ketika itu berada di lorong kiri telah memotong sebuah kereta di hadapannya sebelum melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang berada di lorong kanan untuk membelok ke simpang jalan.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa terpelanting sebelum jatuh di laluan bertentangan selain disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu serta kesemua penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Tambah Shamsudin, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kuala Bakong ke rumahnya di Kuala Ketil.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat manakala pemandu bas itu ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kita akan melakukan ujian air kencing terhadap pemandu itu dan permohonan reman juga akan dibuat ke atasnya di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Jumaat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette