Tertuduh, Nooraslindah Mohd. Lassim, 45, didenda RM15,000, dikenakan bon berkelakuan baik dua tahun serta menjalani khidmat masyarakat 120 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak Januari lalu.

MELAKA – Seorang pengusaha taska didenda RM15,000, dikenakan bon berkelakuan baik dua tahun serta menjalani khidmat masyarakat 120 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Ia selepas tertuduh mengaku bersalah menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak Januari lalu.

Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nooraslindah Mohd. Lassim, 45, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah mendedahkannya sehingga mengalami kecederaan fizikal semasa dalam jagaan tertuduh.

Perbuatan tersebut dilakukan di Taska Bonda Seri Mutiara, No. 9921, Jalan Padi Mahsuri 2, Taman Noorbar, Bukit Piatu di sini, kira-kira pukul 2.07 petang, 28 Januari lalu.

Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan hukuman berat berbentuk penjara sebagai pengajaran kerana kecuaian tertuduh telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu denda yang minimum kerana tidak berniat mencederakan kanak-kanak tersebut selain membuka taska untuk membantu menambah pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah mengarahkan tertuduh didenda RM15,000 dengan bon berkelakuan baik dua tahun dan menjalani khidmat masyarakat 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Tertuduh juga boleh dikenakan tambahan penjara lapan bulan jika gagal bayar denda. – MalaysiaGazette