Anggota bomba melakukan pemeriksaan terhadap guni-guni parcel yang dikhuatiri mengandungi bahan kimia - Gambar ihsan bomba.

KUALA LUMPUR – Seorang mangsa melecur dalam kejadian kebocoran bahan kimia Mas Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak semalam.

Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba II (TPgB II), Mohamad Maramit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kebocoran itu pukul 3.35 petang.

“Seramai 11 orang anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya telah dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamad, pasukan bomba telah menjalankan pemeriksaan terhadap guni-guni parcel yang dikhuatiri mengandungi bahan kimia menggunakan alat pengesan GFG, Litmus Paper dan PH Paper.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada bacaan direkodkan dan bacaan udara adalah normal.

Tambah beliau, tiada sebarang bungkusan yang disyaki mengandungi bahan kimia ditemui.

“Pihak Mas Kargo perlu menghubungi pihak bomba sekiranya menjumpai sebarang tanda-tanda bahan kimia tersebut,” katanya- MalaysiaGazette