Gaza
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini melancarkan tabung khas bagi membantu hampir 120,000 pekerja kesihatan di Gaza yang kini berhadapan dengan keadaan sangat kritikal.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hampir semua sektor pekerjaan di Gaza berhadapan situasi tenat dan sehingga kini lebih 100,000 pekerja di sektor awam dan swasta hilang mata pencarian.

“Keadaan mereka menjadi sangat kritikal kerana tidak mampu menyara keperluan keluarga dan meneruskan kehidupan. Malah, mereka amat sukar meneruskan tugas kerana keselamatan serta prasarana awam musnah sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azmi, sebanyak 32 hospital di seluruh Gaza terjejas teruk apabila lebih 70,000 rakyatnya cedera akibat keganasan tentera zionis Israel.

Rawatan di semua hospital tidak mampu dilakukan oleh doktor, jururawat dan pembantu kesihatan kerana ada yang terbunuh, tercedera dan bekerja tanpa gaji.

Tambah beliau, pekerja kesihatan adalah kelompok yang paling terkesan secara kritikal sejak Israel menyerang Gaza Oktober lalu dan bilangan rakyat yang memerlukan rawatan berlipat kali ganda daripada keadaan biasa akibat jenayah genosid yang dilancarkan di oleh tentera Israel.

“Kami mengambil inisiatif mengistiharkan dan melancar tabung khas untuk membantu pekerja kesihatan di Gaza.

“Tabung ini bertujuan mengumpul dana secara berterusan melalui skim Pendanaan Kesihatan Gaza (Fratenity Fund for Health Workers in Gaza) melalui akaun Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia CIMB 8604556678.

“Sokongan kewangan untuk menampung keperluan dan kebajikan pekerja kesihatan hospital awam mahupun swasta di Gaza akan disalurkan,” ujarnya.

Katanya lagi, keperluan asas dalam bentuk makanan, perbelanjaan harian diharap dapat membantu mereka sehingga mereka kembali menjalankan tugas dengan sempurna.

MAPIM turut menyeru kesatuan sekerja Malaysia di sektor awam mahupun swasta menyumbang kepada tabung berkenaan sebagai tanda solidariti bersama Palestin.

“Skim RM1 sebulan daripada setiap pekerja di Malaysia (1 Pekerja 1 RM Sebulan untuk Palestin) atau 1P1P dilancarkan.

“Untuk memudahkan pekerja Malaysia mencarum RM1 sebulan dari akaun bank masing-masing, ia juga boleh dilakukan secara auto debit kepada akaun MAPIM…diharap dana terkumpul itu boleh membantu pekerja di Gaza,” katanya. – MalaysiaGazette