Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis dilaporkan telah menahan sepasang suami isteri rakyat tempatan yang disyaki membekalkan senjata api kepada seorang warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Menurut New Straits Times, pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, jam 7.15 malam tadi.

Selepas ditahan, polis membawa suspek ke kediaman mereka, juga di Kuala Selangor, di mana mereka menemui sepucuk pistol dalam beg galas di dalam kereta Honda Jazz pasangan itu.

Laporan NST menyebut, menurut sumber, suspek lelaki itu dipercayai bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada lelaki Israel yang disyaki perisik dan memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis.

Pasangan suami isteri itu akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, dipercayai pemandu lelaki Israel itu sejak masuk ke negara itu pada 12 Mac lalu

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, pada sidang media, mendedahkan penahanan suspek warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang Rabu lalu.

Berdasarkan soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari individu, juga dari negaranya, untuk didakwa dibunuh, kononnya ada kaitan dengan isu keluarga, namun polis tidak percaya tuntutan.

Polis masih menjalankan siasatan bagi menentukan motif utama lelaki Israel itu masuk ke negara itu selain niatnya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast