SHAH ALAM – Polis mengesahkan sehingga kini masih belum ada pengarah syarikat yang tampil menuntut wang RM500,000 didakwa miliknya yang sebelum itu dijumpai dalam beg di parkir kereta sebuah pusat beli belah di Damansara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu telah memberi janji kepada polis untuk tampil memberi keterangan untuk tuntutan wang tersebut hari ini namun gagal berbuat demikian.
“Lelaki itu sebenarnya janji nak datang hari ini (Sabtu) dan kita patutnya merekod keterangan untuk mengambil bukti wang RM500,000 yang ditemui itu adalah miliknya tetapi sampai sekarang belum ada kelibat kehadirannya.
“Kami tidak kisah jika dia muncul ke atau tidak untuk membuktikan hak milik wang yang didakwa kepunyaannya tapi kita akan teruskan dengan tindakan pelupusan wang itu sebagai harta tidak dituntut,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Hussein, pihaknya akan membuat pengiklanan mengenai perkara itu dalam media.
“Dia kena datang untuk tuntut dalam tempoh yang ditetapkan nanti jika tidak, kita akan mengiklankan dalam media tempatan dulu.
“Kemudian wang itu akan diserahkan kepada Perbendaharaan sekiranya tiada individu yang tampil menuntutnya,” tegasnya.
Malah, katanya, polis juga telah mengambil cap jari dari beg itu untuk dianalisa di makmal walaupun setakat ini gagal membawa ke arah petunjuk disebabkan cap jari asal sukar dikesan.
Ini kerana beg mengandungi wang itu dipegang dan diusik oleh pengawal keselamatan menjumpainya.
“Pun begitu selain analisa cap jari dari beg dan juga wang kertas itu, kita juga menganalisa ke arah aspek sama ada wujud elemen dadah dan bahan larangan lain dalam wang itu.
“Bagaimanapun, kita akan berkongsi perkembangan baharu siasatan ini selepas menerima laporan daripada penganalisis.
“Polis pada masa sama, kita turut curiga dan ada persoalan bagaimana dan kenapa wang ini ditinggalkan di situ dan juga jika ia mungkin membabitkan sebarang transaksi,” katanya.
Sebelum ini, Hussein juga menyatakan keyakinan pihaknya optimis individu yang mendakwa wang RM500,000 itu adalah miliknya dapat tampil menyediakan bukti dan kenyataaan bagaimanapun gagal tampil sebelum ini atas beberapa sebab.
Pada 21 Mac lalu, polis menerima aduan dari individu yang tampil membuat laporan polis dan mengakui beg yang mengandungi wang lebih RM500,000 itu adalah milik syarikatnya.
Beg berisi wang itu telah dijumpai oleh pengawal keselamatan di parkir kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara pada 20 Mac lalu. – MalaysiaGazette