Mohd Mizan Mohammad Aslam

PENDEDAHAN Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengenai penangkapan seorang ejen Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru semalam menjadi perhatian seluruh rakyat negara ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditangkap di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu dan masuk ke negara ini menggunakan pasport palsu Perancis sejak 12 Mac.

Pakar Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Professor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, Malaysia semenangnya berada dalam radar Israel kerana polisi yang mesra terhadap rakyat Palestin.

Bagaimanapun penyusupan masuk ejen berkenaan ketika pemimpin dan rakyat negara ini begitu lantang memprotes pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza menimbulkan syak wasangka mengenai motif dan sasaran sebenar warga zionis itu.

“Kita tak boleh menolak kemungkinan perkara tersebut dan saya bila dapat tahu tangkapan itu saya sudah terfikir PMX dan memang kenyataan daripada ketua polis negara seiring mereka buat pemantau tinggi terhadap perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong.

“Ini tidak mustahil, sebab kita lihat operasi Israel di seluruh dunia sanggup membunuh sesiapa sahaja individu yang boleh mengancam keselamatan dan kepentingan Israel,” kata Mohd Mizan.

Semalam, Ketua Polis Negara mengesyaki lelaki Israel tersebut mempunyai agenda lain, susulan itu meningkatkan kawalan keselamatan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan individu kenamaan yang lain.

“Apa yang membimbangkan di sini terutama sekali apabila tangkapan ini berlaku kita nampak isu di Palestin.

“Kita juga berwaspada terutama keselamatan Agong, perdana menteri mungkin juga ada pegawai-pegawai VIP kita perlu ambil kira keselamatannya di sini,” kata Razarudin.

Pensyarah kanak Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang UPNM itu berkata, sebelum ini hanya rakyat Palestin yang bijak dan mempunyai kepakaran sahaja menjadi sasaran pembunuhan di Malaysia dan negara lain.

Beberapa siri pembunuhan rakyat Palestin berlaku di Malaysia termasuk pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Al Batsh Fatma pada 2018.

Katanya, ejen Israel mempunyai pelbagai cara untuk menyusup masuk ke Malaysia tambahan mereka mempunyai dua kewarganegaraan, selain Israel.

Malah negara zionis itu boleh mengunakan rakyat dari negara jiran yang mempunyai hubungan rasmi dengan Israel sebagai ejen.

“Katakanlah Israel merekrut orang daripada Thailand, Filipina, Singapura ini menjadi satu kesukaran untuk kita pantau. Agensi risikan kita kena sentiasa ke depan dan aktif serta mempunyai rangkaian yang padu daripada pelbagai sumber.

“Kalau tidak bermakna kita ini akan terus jadi sasaran kerana polisi kita dan dispora Palestin yang ramai di Malaysia. Sukar tetapi kita kena teruskan usaha jaga keselamatan dan kedaulatan negara,” kata beliau.

Bagaimanapun Mohd Mizan berkata, pujian harus diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya membuat tangkapan terbaharu sebelum ejen tersebut bertindak.

Katanya, tangkapan berkenaan termasuk beberapa tali barut terdiri daripada rakyat Malaysia membuktikan PDRM sangat cekap dalam membuat risikan.

“Kita harus beri pujian kepada polis. Risikan PDRM yang cukup padu hingga dapat menangkap individu sebelum mereka lakukan serangan. Ini sangat hebat dan ia bukan mudah.

“Sumber maklumat selalunya PDRM akan bekerjasama dengan agensi lain tetapi tidak termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana mereka bersekongkol (dengan Israel.).

“Ini usaha PDRM sendiri dan mungkin ada sedikit bantuan daripada agensi luar yang lain tetapi yang pasti polis telah membuat intipan dan pengawasan yang berpanjangan sejak konflik Israel Palestin meletus,” kata beliau.

Menyentuh mengenai tangkapan pasangan suami isteri dan seorang lelaki warga Malaysia yang menjadi tali barut ejen berkenaan, Mohd Mizan berkata, Israel sentiasa mempunyai sumber kewangan untuk membayar rakyat tempatan.

Katanya, pelbagai ganjaran akan diberikan kepada tali barut yang boleh mencecah jutaan ringgit.

“Bagi negara kita sudah menjadi kebiasaan seperti tangkapan sebelum ini dan mungkin akan berlaku lagi.

“Ini jelas menunjukkan mereka mempunyai kapasiti untuk memberikan laba yang besar sehingga ada yang sanggup menjual kedaulatan dan kepentingan engara. Sehingga ke peringkat membunuh individu tertentu.

“Wang yang diperoleh pastinya bukan sedikit. Dalam operasi sebegini boleh mencecah jutaan bergantang kepada misi yang dilakukan,” kata beliau.- MalaysiaGazette