MELAKA – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bersedia menjadikan program sumbangan kepada rakyat Palestin sebagai antara syarat perlu dipatuhi penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri pada masa hadapan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, usaha murni itu telah pun bermula di bazar pelancongan mega negeri, Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah.
“Melgrab boleh dijadikan satu contoh kepada penganjur bazar Aidilfitri yang lain supaya tidak melupakan saudara Islam kita di Palestin dalam usaha mereka mencari keuntungan pada musim perayaan ini.
“Mungkin ini juga boleh dijadikan syarat kepada penganjur bazar lain di masa hadapan dengan mempunyai pengisian
program kemanusiaan sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Tabung Solidariti Palestine dan K-Car Ramadan Antoshow @Melgrab 2024 di Jalan Hang Tuah, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Shadan berkata selain Melgrab, Glam Bazar Ramadan (Glam) di Klebang juga adalah bazar utama yang sering mendapat perhatian ribuan pengunjung sekali gus merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya lihat, setiap kali hujung minggu dua bazar ini begitu padat dengan pengunjung berbanding bazar lain yang mana minggu lepas sahaja saya sendiri sudah berbuka puasa dan bersahur dengan lebih 5,000 pengunjung.
“Mereka terdiri daripada ahli kelab-kelab permotoran dari luar Melaka termasuk hari ini di Melgrab ada lebih 100 pemilik kereta kompak pada pameran K-Car Ramadan Antoshow,” katanya.
Sementara itu, penganjur Melrab, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata, beliau yakin penganjuran Melgrab pada tahun ketiga ini mampu meraih kehadiran 2.5 juta pengunjung berbanding 1.8 juta orang tahun lalu berdasarkan kupon cabutan bertuah yang diedarkan kepada pembeli.
“Setakat minggu kedua ini, kita sudah mencapai lebih satu juga pengunjung dan kita nampak trend ini lebih meningkat berbanding tahun lalu.
“Kita akan terus mempergiatkan lagi usaha mempromosi bazar yang mempunyai 155 khemah peniaga ini untuk merancakkan lagi sambutan TMM2024,” katanya. – MalaysiaGazette