MELAKA – Seorang pekerja kilang yang baru pulang dari berbuka puasa maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Bukit Rambai, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.50 malam itu, mangsa Muhammad Nur Syakirin Mohammad Razid, 20, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan SUV jenis Proton X70 itu dalam perjalanan dari arah Batang Tiga ke Bukit Rambai.
“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba dilokasi pemandu SUV berumur 32 tahun hendak masuk ke simpang kiri rumahnya sebelum tiba-tiba mangsa datang dari arah belakang dan gagal mengelak.
“Mangsa yang ketika itu baru selesai berbuka puasa kemudian terlanggar bahagian sisi kiri SUV berkenaan menyebabkannya tercampak ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan akibat parah di kepala manakala pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette