Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (empat kiri) menurunkan tandatangan ketika perasmian Penarafan Terminal KLIA2 sebagai Terminal Kelas A di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang. Foto SYADILA AMARI, 01 APRIL 2024.

SEPANG – Kerajaan mengalu-alukan lebih ramai pihak swasta menaik taraf terminal pengangkutan awam seperti mana boleh dilihat di Terminal Kelas A, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menteri Pengangkutan, Anthony LokeĀ  berkata, ia merupakan satu pelaburan yang strategik yang boleh menaikkan imej negara di mata pelancong asing.

“Saya berharap lebih ramai pihak swasta akan menaik taraf terminal-terminal supaya pengangkutan awam ini akan menjadi satu kemudahan lebih baik kepada rakyat dan penumpang.

“Ini satu kemudahan penting dan strategik kepada negara, sudah tentu kita mahu imej yang baik dalam terminal ini.

“Saya berpuas hati dengan apa yang saya lihat, dengan adanya pelbagai pelaburan daripada syarikat swasta,” katanya pada sidang media di hab pengangkutan KLIA2 hari ini.

Ketika ini terdapat sebanyak 169 terminal bas di Semenanjung Malaysia dengan seliaan kaedah pengurusan yang berbeza di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahu pun pihak swasta.

“Mutu perkhidmatan terminal termasuk isu keselamatan, tahap penyelenggaraan, caj dikenakan dan integrasi sistem tiket antara ejen penempahan pihak ketiga dan pengendali terminal sudah tentu menerima perhatian yang orang ramai.

“Untuk memastikan semua aspek yang mematuhi piawaian, satu mekanisme pelesenan amat diperlukan agar pihak berkuasa diberi punca kuasa untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit,” katanya.

Katanya lagi, kewujudan pelesenan terminal penting untuk penyeragaman dalam pengawalseliaan terminal, memastikan kemudahan, keselamatan dan tahap perkhidmatan terminal pengangkutan sentiasa di tahap terbaik.

“Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Pelesenan Terminal) (Stesen dan Pusat Pengangkutan) 2024 telah diwartakan pada 5 Februari lalu.

“Pewartaan ini mewajibkan semua terminal bas di Semenanjung untuk mempunyai lesen terminal APAD untuk beroperasi.

“Pengendali-pengendali terminal boleh memohon lesen tersebut bermula 22 April 2024 melalui sistem pelesenan atas talian iSPKP APAD,” katanya.

Tambahnya, selaras peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], MOT telah memutuskan untuk menguatkuasakan pelesenan terminal ini bagi memastikan pengoperasian terminal di seluruh negara dapat dikawalselia.

Selain itu, APAD juga memperkenalkan penarafan gred A, B atau C yang menentukan tahap perkhidmatan setimpal dengan caj maksima yang boleh dikenakan oleh pihak terminal.

“Penarafan gred ini adalah berasaskan tahap kemudahan terminal merangkumi tiket dan kaunter infomasi, keselamatan, keselesaan kepada orang ramai dan pemandu.

“Tidak ketinggalan penetapan kemudahan untuk orang kelainan upaya yang merupakan salah satu syarat wajib bagi penarafan terminal gred A,” katanya lagi. – MalaysiaGazette