Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang sederhana pada Jumaat lepas.

Pada 9.03 pagi, ringgit susut kepada 4.7235/7270 berbanding dolar AS daripada 4.7215/7280 pada Jumaat lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dari segi teori, dolar AS tidak akan kukuh berikutan inflasi seperti yang dijangkakan, tetapi ia disokong oleh perbincangan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai kenaikan kadar faedah yang sederhana.

“Fed terus mengambil pendekatan ‘tidak tergesa-gesa’ untuk mengurangkan kadar faedah sehingga inflasi menghampiri sasaran dua peratus selepas indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) meningkat 0.3 peratus pada Februari daripada Januari.

“Oleh itu, dolar kekal kukuh pada sesi pagi ini walaupun saya menjangka kadar AS akan turun dan dolar akan susut sedikit,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata data makro yang menggalakkan dari China pada hujung minggu akan membantu menyokong mata wang tempatan dalam masa terdekat.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan China, PMI aktiviti bukan pembuatan dan indeks pengeluaran PMI yang komprehensif, masing-masing mencatatkan sebanyak 50.8 peratus, 53.0 peratus dan 52.7 peratus, naik 1.7, 1.6 dan 1.8 mata peratusan — menunjukkan ekonomi China yang bertambah baik.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 5.0976/1014 daripada 5.0907/0977 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding pound kepada 5.9681/9726 daripada 5.9548/9630 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut susut berbanding yen Jepun kepada 3.1203/1228 daripada 3.1194/1241 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9913/13.0063 daripada 12.9712/9983 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 297.8/298.2 daripada 297.7/298.2 sebelum ini.

Ia berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.5036/5064 daripada 3.4987/5040 sebelum ini dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42. – BERNAMA