SEPANG – Sasaran bagi kemasukan lebih lima juta pelancong China dapat dicapai dengan adanya syarikat-syarikat penerbangan baharu negara itu menawarkan perkhidmatan ke Malaysia.

Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Manoharan Periasamy berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai berdasarkan kekerapan penerbangan antara China dan Malaysia lebih daripada 247 penerbangan seminggu.

“Berdasarkan kepada kapasiti tempat duduk yang ada sekarang menghampiri 4.9 juta tempat duduk daripada China ke Kuala Lumpur.

“Jadi jumlah ini campur dengan (penerbangan ke) Singapura dan Malaysia mencecah 10 juta pelancong.

“Sasaran 5 juta pelancong ini tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan kepada kapasiti tempat duduk di antara Malaysia dan Singapura,” katanya yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Manoharan menyambut penumpang pesawat Sichuan Airlines dari Chengdu dan China Southern Airlines dari Shenzhen yang mendarat di KLIA, masing-masing pada jam 11 malam dan 12.30 pagi.

Sichuan Airlines menawarkan penerbangan harian untuk laluan Kuala Lumpur-Chengdu dengan menggunakan pesawat Airbus, A321 dengan kapasiti 192 penumpang.

China Southern Airlines menawarkan penerbangan harian untuk Laluan Kuala Lumpur-Shenzhen dengan menggunakan pesawat A320neo yang mempu membawa 165 penumpang. 

Pada 2023, Malaysia menyambut kedatangan pelancong China sebanyak 1.47 juta berbanding 212,603 orang pada 2022. – MalaysiaGazette