Raduan bergambar bersama hadirin selepas Program Semarak Kasih Majlis Profesor Negara 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini

BANGI – Kerajaan mengalu-alukan kerjasama golongan akademik untuk sama-sama memberi idea dan sumbangan kepada pembangunan insan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, peranan kerajaan dalam mendukung kemajuan pendidikan tinggi juga semakin terserlah dengan adanya sistem sokongan golongan akademiah atau pemikir negara yang berganding bahu dalam berbagai bidang.

“Suatu yang pasti, peranan dan tanggungjawab golongan intelektual atau pemikir negara ini amat dihargai dan dialu–alukan kerana menyumbang untuk kerajaan dan rakyat demi pembangunan pendidikan dan pengajian tinggi serta Pembangunan Kelestarian masa hadapan.

“Saya amat bersetuju bahawa idealisme golongan intelektual atau pemikir negara ini perlu dirakyatkan dan diterjemahkan dalam konteks perjuangan dan pengorbanan demi masa kini dan hala tuju masa depan peradaban negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kasih Majlis Profesor Negara 2024 di sini hari ini.

Hadir sama pada program itu Presiden MPN, Datuk Dr Raduan Che Ros.

Justeru, Mustapha berkata, golongan intelektual atau pemikir negara perlu memahami serta mengenali sistem masyarakat berbilang bangsa selain persekitaran kehidupan yang berbeza.

Golongan intelektual harus memihak kepada kemajuan ilmu, pengetahuan sains dan teknologi, menegakkan kebebasan berfikir, mempunyai semangat juang yang tinggi dan berjiwa besar.

Dengan bersikap sedemikian golongan intelektual atau pemikir negara mampu menyumbang idea dan kepakaran untuk membangunkan masyarakat sekaligus membentuk nilai modal insan yang stabil dan harmoni tanpa memikirkan sebab dan akibat.

“Realitinya, bidang pendidikan, universiti, sekolah dan pemikir negara tidak boleh dipisahkan.

“Banyak fakta membuktikan kehebatan kedudukan intelektuan yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah berprestij baik di peringkat nasional ataupun antarabangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast