Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mengesan ada syarikat milik bukan Melayu Islam mencetak dan menjilid bahan bacaaan mengenai agama Islam sekali gus menimbulkan persoalan termasuk tahap pematuhan prosedur pengendalian, penyimpanan dan pelupusan sisanya ketika proses dilakukan.

Penasihat PPPMM, Muhammed Farhan Basheer mendakwa, syarikat bukan ahli PPPMM itu mencetak bahan bacaan seperti yasin, risalah, kitab dan buku agama bagi pihak penerbit swasta selain menerusi tender jabatan serta agensi kerajaan.

Sedangkan persatuan berpendapat, percetakan tersebut lebih baik dilakukan syarikat pencetak Melayu Islam yang dijamin mematuhi prosedur percetakan kerana bahan bacaan agama lazimnya mengandungi kalimah suci Allah, ayat al-Quran serta hadis.

“Mengambil iktibar isu stokin dengan cetakan kalimah Allah ketika ini maka terbukti isu berkaitan agama sangat sensitif dan boleh mengancam keharmonian rakyat sekali gus senario ini menuntut ketegasan kerajaan untuk menyekat kejadian serupa berulang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhammed Farhan Basheer

Menurutnya, sebagai langkah terbaik menjaga kesucian kalimah Allah, ayat al-Quran serta sensitiviti umat Islam sepanjang proses percetakan adalah menguatkuasakan prosedur atau peraturan khusus bahawa mana-mana percetakan bahan tersebut mesti dilakukan ahli PPPMM.

Tindakan tegas juga perlu dikuatkuasakan terhadap pihak termasuk individu, syarikat dan agensi yang menyerahkan pencetakan bahan mengenai agama Islam kepada pencetak bukan Islam kerana ia mendedahkan risiko terhadap kesucian agama Islam, ujarnya,

“Kami memberi jaminan PPPMM mempunyai ahli yang berkeupayaan termasuk dari aspek tenaga kerja, pengalaman serta kearifan terhadap prosedur percetakan di samping memiliki mesin mencetak naskhah al-Quran dan bahan bacaan berkaitan.

“PPPMM mempunyai kira-kira 100 ahli yang memegang Lesen Mesin Cetak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lesen Akta Percetakan Teks Al-Quran serta diberi tauliah Jabatan Agama Islam Negeri untuk mencetak al-Quran dan bahan bacaan berkaitan,” katanya.

Daripada jumlah itu, kira-kira 30 syarikat mempunyai kapasiti mencetak 10,000 hingga 30,000 naskhah al-Quran dalam masa sebulan.

Muhammed Farhan berkata, ketegasan PPPMM di sini bukan soal kepentingan atau keuntungan perniagaan tetapi untuk menjaga kesucian agama Islam.

Pada masa sama, persatuan mendokong ketegasan kerajaan sekarang yang amat prihatin dalam soal menjaga keharmonian masyarakat.

Jadi, biarlah proses mencetak, menjilid dan melupuskan sisa cetakan bahan bacaan mengenai agama Islam ini dilakukan sepenuhnya oleh ahli PPPMM yang bertauliah, berkeupayaan serta tahu hukum hakam.

PPPMM juga sedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membincangkan perkara ini demi menjaga kesucian serta kepentingan agama Islam.

Jelasnya, PPPMM sebelum ini pernah mengemukakan bantahan mengenai perkara penglibatan syarikat bukan Melayu mencetak bahan bacaan agama Islam menerusi beberapa sesi pertemuan dengan KDN dan Jakim. – MalaysiaGazette