Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan agar segera membersihkan penjawat awam masing-masing daripada amalan salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau berkata, jika tidak kerajaan akan terus kehilangan hasil negara hingga mencecah puluhan bilion ringgit jika jabatan dan agensi masih mengamalkan budaya negatif itu.

“Bila terbongkar cerita Kastam, saudara bayangkan satu jabatan kecil, itu kalau dikira kebocoran itu dalam setahun kerana mereka mendapat mungkin RM100 juta, tapi yang rugi itu RM2 bilion.

“Bayangkan kalau kumpul 200 pelbagai jabatan dan agensi, kita hilang puluhan bilion.

“Ia sepatutnya dipulangkan untuk menjana pertumbuhan, bantu rakyat susah, tingkatkan mutu pendidikan, kemudahan kesihatan serta beri gaji dan upah lebih tinggi kepada penjawat awam,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di sini, pagi tadi.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Azam berkata, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JIM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin kerana mengambil tindakan segera apabila berlaku salah guna kuasa dan rasuah.

“Ini tidak boleh berlaku kerana kita bekerja dalam kekangan, sebab itu Datuk Anis tahniah sebab dia tak melihat dari segi negatif, terus ambil tindakan

“Ada kelompok itu terlibat, tukar, kalau ambil tindakan disiplin, ganti ramai lagi.

“Saya yakin majoriti penjawat awam ini orang yang ada integriti dan kasih kepada negaranya.

“Jangan biarkan sekelumit ini mencacat imej perkhidmatan awam,” katanya.

Perdana mahu Ketua Pengarah dan Ketua agensi kerajaan lain mencontohi tindakan Datuk Anis Rizana kerana tidak melindungi penjawat awam di bawah seliaan yang terlibat dengan rasuah.

“Bila ketua pengarah, ketua-ketua agensi dia tak pilih untuk cuba melindungi, ini masalah kita, lantik jawatan ketua pengarah, ketua agensi, gaji tinggi tapi kerja dia nak lindungi kebobrokan yang berlaku, jadi takkan ada perubahan

“Tukarlah berapa banyak ketua agensi, tapi kecurangan itu terus berlaku kerana tidak ada kekuatan tekad walaupun puasa Ramadan sudah berpuluh tahun, tak pernah lulus ujiannya.

“Jadi kalau ada tindakan seperti Ketua Pengarah Kastam, saya ucap tahniah kerana berani ambil tindakan tegas.

“Apa tidak ada risiko? Ada risiko, tak, ada yang marah, tapi tanggungjawab kalau jadi ketua, bersihkan segera, Datuk Anis teruskan dengan lebih berani lagi, “katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast