Steven Sim.

PUTRAJAYA – Tuntutan Indonesia supaya memorandum persefahaman (MoU) membabitkan sektor formal pekerja dari negara itu ke Malaysia yang tidak disemak sejak 20 tahun lalu untuk dikaji semula akan dibincang dalam Jawatankuasa Bersama yang bersidang pada bulan Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kedua-dua negara akan menggunakan platform tersebut untuk membincangkan perkara yang dibangkitkan sebelum ini.

“Kita mempunyai proses perbincangan MoU itu berikutan ia membabitkan bidang kuasa dua buah negara yang mempunyai hubungan baik.

“Kita akan bincang dalam jawatankuasa kerja itu. Malaysia menjadi tuan rumah kali ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pocket Talks dan prapelancaran Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024, di sini.

Baru-baru ini, Indonesia menuntut supaya perkara berkaitan sektor formal pekerja dari negara itu ke Malaysia, terutama perladangan dan pembinaan dikaji semula.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, antara perkara yang perlu dibangkitkan ialah keperluan pihak kedutaan memantau proses pengambilan pekerja ke Malaysia serta isu gaji yang perlu disesuaikan dengan dasar gaji minimum di negara ini.

Menurutnya, Indonesia dan Malaysia mempunyai dua MoU berkaitan migran membabitkan semua sektor yang ditandatangani pada 2004, kecuali pekhidmat domestik Indonesia (PDI).

MoU membabitkan PDI atau amah secara khusus pula dimeterai kedua-dua negara berjiran itu pada 1 April 2022. – MalaysiaGazette