Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tiga dari kanan) menyerahkan replika kad berjumlah RM93,000 kepada waris pendeposit Simpan SSPN Plus di Program Ziarah PTPTN Prihatin.

KUALA LUMPUR – Ibu kepada Allahyarhamah Wan Siti Aishah Megat Hashim menerima manfaat perlindungan takaful simpan SSPN Plus berjumlah RM93,000 berserta khairat kematian berjumlah RM3,000.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, Allahyarhamah Wan Siti Aishah Megat Hashim adalah pendeposit Simpan SSPN Plus.

Allahyarhamah Wan Siti Aishah Megat Hashim, 42, meninggal dunia pada 13 April 2023, telah membuka akaun untuk diri sendiri pada 22 September 2016 di bawah Pakej Nilam  iaitu untuk simpanan RM270 dan untuk caruman takaful sebanyak RM30.

Melalui caruman takaful RM30 sebulan, Allahyarhamah telah dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian biasa) berjumlah RM90,000 dan khairat kematian berjumlah RM3,000.

Penyerahan itu disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim bersama ketua eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid, pengurus besar kanan, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Kedah, Fauzi Azli Salleh di di kediaman ibu Allahyarhamah di Jitra, Kedah, melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin.

PTPTN berkata, produk Simpan SSPN Plus menawarkan enam pakej simpanan yang terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful yang komprehensif di samping sumbangan premium yang murah.

Keistimewaan produk ini adalah sama seperti Simpan SSPN Prime iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Menariknya, Simpan SSPN Plus menawarkan keistimewaan tambahan yang lebih baik dari segi manfaat perlindungan takaful dengan tiga pilihan syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

Norliza berkata, keistimewaan tambahan yang ditawarkan adalah manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun dan manfaat ini tertakluk kepada syarikat pengendali takaful yang dipilih oleh pendeposit.

Selain itu, komitmen serendah RM30 sebulan untuk pakej intan dan tiada pemeriksaan kesihatan kecuali yang ingin membuka akaun pakej Berlian, perlu menjawab tiga soalan kesihatan.

Pada tahun 2024, PTPTN telah menganjurkan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 dengan tawaran hadiah wang tunai yang lebih lumayan lebih RM1.3 juta untuk 983 orang pendeposit.

Kempen ini sebagai usaha PTPTN untuk menggalakkan lagi penabungan dalam kalangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast