Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman menyampaikan surat rasmi kepada penjaga serta banduan pada Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Penjara Kajang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2024.

KAJANG – Seramai 1,380 banduan di semua institusi penjara di seluruh Malaysia dipilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Komisioner Jeneral (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, seramai 43 banduan merupakan tahanan Penjara Kajang.

“Pelepasan banduan yang kita panggil prospek ini merupakan salah satu komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan pemulihan dalam komuniti dan merupakan langkah untuk pengitegrasian semula prospek dalam masyarakat.

“Semoga dengan pelepasan Ihsan Madani sempena perayaan Aidilfitri ini diharap akan memberi peluang bagi semua prospek berhari raya bersama keluarga tercinta,” katanya ketika ditemui selepas program PBSL di Penjara Kajang hari ini.

Ibrisam berkata, bermula Oktober 2020 sehingga Mac 2024, seramai 32,268 prospek telah diberikan kelulusan untuk PBSL.

Katanya, inisiatif program pemulihan dalam komuniti kepada prospek yang layan adalah untuk memperluaskan konsep keadilan pemulihan berbanding keadilan menghukum dalam sistem kepenjaraan di Malaysia.

Ujarnya, inisiatif itu dilihat semakin penting dalam memberi peluang kedua kepada prospek serta proses integrasi mereka ke dalam masyarakat dan seterusnya mencapai matlamat 2/3 prospek yang layak menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.

“Jabatan Penjara berharap pihak keluarga dan majikan akan terus memberikan uang dan peluang kepada mereka supaya dapat kembali ke pangkuan masyarakat dengan tangan yang terbuka,” tambahnya. – MalaysiaGazette