Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang akhbar KDN di Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 08 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan untuk meneruskan status qou bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ia bersandarkan kepada parti yang bertanding sebelum ini.

Justeru itu, Saifuddin akan mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini berhubung perkembangan terkini PRK berkenaan.

“Biasanya mesyuarat itu kami akan memuktamadkan status quo dari segi parti yang bertanding di kawasan yang mengalami kekosongan itu.

“Kemudian kami (PH) akan mendengar parti berkenaan untuk mengemukakan tentang senarai calon mereka,” katanya di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mei sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu dan 27 April ini bagi proses penamaan calon.

Ditanya mengenai gesaan MCA untuk turut bertanding di PRK berkenaan, Saifuddin mahu menyelesaikan masalah dalam gabungan itu terlebih dahulu.

“Kita selesai hal rumah tangga (dalam PH dahulu),” jawab beliau.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal diadakan berikutan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Pada 26 Mac, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua DUN Selangor, Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

Kee Hiong, 58, yang menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu dalam Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Pada PRN Selangor Ogos tahun lalu, mendiang Kee Hiong yang bertanding atas tiket PH-DAP memenangi kerusi itu dengan memperoleh 14,862 undi menewaskan Pengerusi Gerakan Selangor, Teoh Kien Hong daripada PN-Gerakan. – MalaysiaGazette