Tian Soon melihat pegawai JAS memeriksa tahap pencemaran kilang ketika menyertai Ops Gempur Raya di sebuah kawasan perindustrian di Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengeluarkan 30 syor kompaun bernilai RM60,000 dan 15 syor notis arahan kepada beberapa kilang industri di negeri itu sempena Ops Gempur Raya 2024 yang dilaksanakan selama empat hari bermula semalam dan berakhir hari ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan setelah mendapati kilang terbabit didapati melakukan kesalahan seperti memililiki tahap pematuhan yang rendah terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974).

“Pemeriksaan kita beri tumpuan ke atas kilang-kilang yang telah dikenal pasti berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar atau terletak di hulu takat pengambilan air.

“Sebenarnya operasi ini kita memang teruskan tanpa mengira waktu termasuklah di bulan Ramadan.

“Pada operasi kali ini, sebanyak 50 premis diperiksa dan 42 daripadanya, dikenakan arahan lapangan manakala empat lagi Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas Ops Gempur Raya di sebuah kawasan perindustrian di Iskandar Puteri, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusof.

Selain itu sampel efluen juga telah diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia.

Sementara itu dalam majlis sama, Tian Soon berkata,  JAS Negeri Johor akan memasang sistem pemantauan di beberapa sungai yang berhampiran dengan kawasan kilang bagi memantau kualiti air di situ.

Pemantauan berkenaan penting dalam usaha membendung pencemaran sungai selain membantu memastikan kualiti air sentiasa terjamin.

Setakat ini, 277 stesen pengawasan menjalankan persampelan air secara manual.

Manakala empat stesen akan menjalankan persampelan secara automatik.- MalaysiaGazette